[VIDEO] Wanita dipenjara tiga bulan, denda RM10,000 bunuh bayi baru lahir
GEORGE TOWN - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan daripada tarikh tangkap terhadap seorang wanita yang dituduh atas pertuduhan pilihan membunuh anak sendiri (infantisid) lima tahun lalu.
Tertuduh, M Santhiea, 23, sebelum ini ditahan reman selama tiga bulan selepas tidak dibenarkan ikat jamin sebelum Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya untuk dibebaskan dengan jaminan.
Selain itu, Hakim Rofiah Mohamad turut mengenakan denda sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh dan sekiranya gagal bayar, tertuduh boleh dikenakan penjara lima bulan.

Rofiah menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar laporan sosial tambahan yang dikemukakan Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Timur Laut, Mohd Zahir Harun pada Jumaat.

"Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara yang dikira daripada tarikh dia ditangkap iaitu pada 10 Julai 2020 hingga 14 September 2020 dan 30 Disember 2020 hingga 15 Januari 2021.
"Berdasarkan pengakuan tertuduh terhadap pertuduhan pilihan serta fakta kes yang diakui sepenuhnya tanpa syarat, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan atas pertuduhan pilihan tersebut," katanya.
Menurut Rofiah lagi, mahkamah berpendapat bahawa hukuman penjara tidak dicadangkan untuk tertuduh kerana ia akan lebih mengganggu kesihatan mentalnya.
"Hukuman pemenjaraan terhadap tertuduh tidak dicadangkan selain mahkamah juga berpendapat adalah lebih baik tertuduh tinggal bersama keluarga demi menjaga kesihatan mentalnya.
"Tambahan pula, daripada laporan sosial yang dikemukakan, tertuduh menyatakan niatnya untuk membunuh diri pada hari kejadian. Oleh demikian, jika hukuman penjara diberikan, kemungkinan untuk tertuduh membunuh diri di dalam penjara amat tinggi.
"Selain itu, tertuduh juga perlu mengambil dua jenis ubat setiap hari serta sedang menjalani rawatan susulan dengan pakar psikiatri kerana mengalami tekanan dan trauma yang sangat teruk," katanya.
Rofiah berkata, mahkamah juga mengambil hujah pihak pembelaan iaitu kejadian tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada tertuduh malah ia turut melibatkan keluarganya.
"Penyesalan dan penderitaan yang dialami tertuduh dalam tempoh lima tahun dibebaskan dengan jaminan ini, merupakan hukuman yang cukup berat sehingga memberikan kesan trauma, tekanan mental dan kemurungan teruk (Major Depressive Disorder).
"Dan ia disahkan oleh Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak malah tertuduh masih mendapatkan rawatan serta mengambil ubat sehingga hari ini.
"Keluarganya juga menerima tohmahan dan pandangan serong daripada masyarakat sekeliling dan melalui kehidupan seperti ‘living in hell’," tambahnya.
Kata beliau lagi, berdasarkan senario itu, mahkamah juga mengambil pendekatan untuk menjatuhkan hukuman lebih bersifat pemulihan berbanding punitif atau menghukum.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiah Dahalaan manakala tertuduh diwakili peguam RSN Rayer.
Difahamkan, keluarga tertuduh telah membayar wang denda berkenaan.

Sebelum ini, tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan pilihan membunuh anak sendiri (infantisid) selepas membuang bayi perempuannya dari tingkap apartmen lima tahun lalu.
Tertuduh yang ketika itu berusia 18 tahun sebelum ini didakwa atas pertuduhan membunuh pada tahun 2020, namun pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif atas faktor keadaan mentalnya selepas bersalin dan berdasarkan keterangan beberapa saksi.
Mengikut pertuduhan baharu di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan, tertuduh (seorang wanita) boleh disabitkan kesalahan infantisid sekiranya menyebabkan kematian anak yang baru dilahirkan ketika mengalami gangguan fikiran akibat belum pulih sepenuhnya daripada proses bersalin.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Berdasarkan fakta kes, Santhiea didakwa membunuh bayi perempuannya di Apartmen Sri Ivory, Bandar Baru Air Itam pada jam 8.25 pagi, 10 Julai 2020.
Dia dituduh ketika sedang dirawat di wad bersalin Hospital Pulau Pinang akibat kehilangan darah yang serius serta komplikasi selepas melahirkan anak.
Tertuduh turut ditahan reman selama empat bulan selepas tidak dibenarkan ikat jamin, sebelum Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya untuk dibebaskan dengan jaminan.
Mahkamah Tinggi kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM90,000 bersama beberapa syarat ketat termasuk perintah berkurung 12 jam di rumah dan larangan meninggalkan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

