Wanita campak bayi baru lahir dari tingkap apartmen menangis di mahkamah

Tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang bersama ibu bapanya pada pagi Jumaat.
Tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang bersama ibu bapanya pada pagi Jumaat.
A
A
A

GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menangguhkan keputusan terhadap kes seorang wanita yang dituduh atas pertuduhan pilihan membunuh anak sendiri (infantisid) selepas membuang bayi perempuannya dari tingkap sebuah apartmen pada lima tahun lalu.

Hakim Rofiah Mohamad kemudiannya menetapkan 8 Ogos ini untuk keputusan akhir kes melibatkan tertuduh, M Santhiea, 23.

Rofiah membuat keputusan itu bagi membolehkan mahkamah meneliti laporan sosial yang dikemukakan Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Timur Laut, Mohd Zahir Harun, hujah oleh pihak pendakwaan serta rayuan daripada barisan pembelaan.

"Selepas mendengar rayuan, laporan sosial tertuduh serta hujah daripada pihak pendakwaan, mahkamah mendapati adalah amat susah untuk membuat keputusan terhadap kes ini.

"Oleh demikian, mahkamah memerlukan masa untuk meneliti kesemuanya iaitu laporan sosial, rayuan dan hujah pendakwaan sebelum membuat keputusan terhadap kes ini.

"Maka, saya menetapkan mahkamah akan bersidang semula pada 8 Ogos ini untuk keputusan akhir kes," katanya pada Jumaat.

Kes ditangguh sehingga 8 Ogos depan untuk keputusan akhir.
Kes ditangguh sehingga 8 Ogos depan untuk keputusan akhir.

Mahkamah sebelum itu ditangguhkan sebentar selepas tertuduh tidak dapat menahan emosinya setelah ditunjukkan gambar bayi dan barang-barang kes.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh dilihat menangis teresak-esak dan terpaksa ditenangkan oleh peguam yang mewakilinya, RSN Rayer dan ibunya.

Mahkamah kemudiannya bersidang semula selepas tertuduh kembali tenang.

Dalam rayuannya, Rayer berkata, ketika kejadian, tertuduh berusia 18 tahun dan merupakan seorang pelajar kolej swasta.

"Tertuduh telah ditahan reman selama empat bulan di penjara dan hukuman itu telah memberi satu pengajaran kepada tertuduh dan keluarga.

"Selain itu, ketika kejadian, tertuduh cuba membunuh diri selepas melahirkan bayinya kerana takut untuk menghadapi keluarganya terutama ibu bapa.

"Oleh itu, saya mohon mahkamah menggantikan hukuman penjara kepada bon berkelakuan baik berikutan tertuduh merupakan seorang pesalah muda dan telah menghadapi 'living in hell' akibat perbuatannya itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiah Dahalaan dalam pendakwaannya berkata, kes tersebut melibatkan pembunuhan seorang bayi perempuan yang dilahirkan hidup, namun malangnya telah dibunuh dengan cara mencampaknya dari tempat tinggi.

"Bayi tersebut disahkan masih hidup sewaktu dilahirkan. Dalam mempertimbangkan kes ini, pihak pendakwaan ingin menegaskan bahawa faktor kepentingan awam perlu diberi keutamaan, memandangkan mangsa ialah seorang bayi yang tidak mampu bersuara atau mempertahankan diri.

"Sehubungan itu, hukuman yang dijatuhkan mesti mencerminkan betapa seriusnya kesalahan ini, agar menjadi pengajaran dan peringatan kepada masyarakat serta pencegahan kepada mana-mana pihak daripada mengulangi kesalahan yang sama.

"Mahkamah telah diarahkan untuk meneliti sebab kematian bayi serta faktor-faktor yang menyumbang kepada kes ini. Tertuduh didapati telah membuang bayi tersebut dengan cara yang tidak berperikemanusiaan, melemparkan bayi melalui tingkat bangunan. Sekiranya bayi tersebut dibiarkan hidup, dia kini berusia lima tahun," katanya.

Sebelum ini, tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan pilihan membunuh anak sendiri (infantisid) selepas membuang bayi perempuannya dari tingkap apartmen lima tahun lalu.

Tertuduh, M Santhiea yang ketika itu berusia 18 tahun, sebelum ini didakwa atas pertuduhan membunuh pada tahun 2020, namun pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif atas faktor keadaan mentalnya selepas bersalin dan berdasarkan keterangan beberapa saksi.

Mengikut pertuduhan baharu di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan, tertuduh (seorang wanita) boleh disabitkan kesalahan infantisid sekiranya menyebabkan kematian anak yang baru dilahirkan ketika mengalami gangguan fikiran akibat belum pulih sepenuhnya daripada proses bersalin.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Berdasarkan fakta kes, Santhiea didakwa membunuh bayi perempuannya di Apartmen Sri Ivory, Bandar Baru Air Itam pada jam 8.25 pagi, 10 Julai 2020.

Dia dituduh ketika sedang dirawat di wad bersalin Hospital Pulau Pinang akibat kehilangan darah yang serius serta komplikasi selepas melahirkan anak.

Tertuduh turut ditahan reman selama empat bulan selepas tidak dibenarkan ikat jamin, sebelum Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya untuk dibebaskan dengan jaminan.

Mahkamah Tinggi kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM90,000 bersama beberapa syarat ketat termasuk perintah berkurung 12 jam di rumah dan larangan meninggalkan negeri.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!