Tenaganita gesa Guan Eng mohon maaf isu gaji minimum pekerja migran

Dari kiri: Glorene, Guan Eng
Dari kiri: Glorene, Guan Eng
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng digesa segera membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataannya di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa pekerja migran tidak layak menerima gaji minimum mahupun caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene A Das berkata, kenyataan sedemikian bukan sahaja menunjukkan ketidakpekaan, malah jelas memperlihatkan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap buruh migran, menghalalkan penindasan serta mengkhianati prinsip keadilan.

Menurutnya, pekerja migran tunjang utama dalam pelbagai industri di negara ini daripada sektor pembinaan, pembuatan dan perladangan sehingga ke pemprosesan makanan serta perkhidmatan pembersihan.

"Mereka sanggup melakukan kerja paling berbahaya, kotor dan sukar (3D), kadangkala hingga mengorbankan nyawa. Kerja yang sering ditolak masyarakat tempatan.

"Cadangan bahawa mereka tidak layak menerima gaji minimum atau perlindungan sosial satu bentuk perhambaan moden.

"Tenaganita mendapati penafian terhadap upah yang adil, kerja lebih masa tanpa bayaran, pemotongan gaji dan keadaan kerja berbahaya semakin berleluasa.

"Menafikan caruman KWSP kepada pekerja migran bermakna merampas maruah mereka semasa bersara dan menafikan hak jaminan masa depan, sementara majikan dan syarikat terus meraih keuntungan daripada tenaga kerja golongan ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Guan Eng yang juga Penasihat DAP ketika perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat dilapor berkata, tiada keperluan untuk menguatkuasakan gaji minimum dan menggesa majikan mencarum KWSP buat pekerja migran memandangkan Malaysia tidak terikat dengan mana-mana konvensyen dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Katanya, tidak wajib untuk mengenakan dasar gaji minimum RM1,700 atau caruman KWSP sebanyak dua peratus ke atas pekerja asing yang telah diambil bekerja.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahli Parlimen Bagan tersebut, dasar gaji minimum dan caruman sepatutnya terpakai kepada pengambilan pekerja asing baharu sahaja kerana kumpulan sedia ada direkrut mengikut terma yang berbeza.

Selain tuntutan permohonan maaf, Glorene berpendapat, dasar gaji minimum di negara ini bagaimanapun mesti terpakai kepada semua pekerja tidak kira rakyat tempatan atau pekerja asing tanpa pengecualian.

Tambahnya, majikan juga perlu mewajibkan caruman KWSP kepada semua pekerja migran sebagai bukti bahawa Malaysia memiliki sistem perlindungan sosial yang adil dan saksama.

"Penguatkuasaan undang-undang berserta hukuman tegas terhadap majikan yang membayar gaji rendah atau menahan gaji pekerja migran perlu dilaksanakan," ujarnya.

Jelas beliau lagi, terlalu ramai wanita migran yang bekerja di kilang, sektor pertanian dan industri makanan berdepan diskriminasi berasaskan jantina, gangguan seksual serta upah sedikit.

"Menafikan gaji minimum sama seperti menyokong keganasan ekonomi berasaskan gender. Golongan sebegini bukan manusia kelas kedua atau kelas bawahan, mereka pekerja dan mesti dilindungi secara saksama.

"Tiada sesiapa patut dikecualikan daripada menerima gaji yang mencukupi untuk hidup atau jaminan persaraan hanya kerana pasport mereka," kata Glorene.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!