Rumah saksi Guan Eng disamun: 14 saksi dirakam keterangan

Shahrulnizam
Shahrulnizam
A
A
A

PETALING JAYA – Seramai 14 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes pecah masuk kediaman saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan di Jalan Bukit Gasing, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya sedang mengesan beberapa saksi yang dipercayai dapat membantu siasatan kes itu.

“Setakat ini, kita telah merakam keterangan 14 saksi bagi membantu siasatan.

“Sehingga sekarang, siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Jumaat, media melaporkan mangsa memaklumkan nilai barangan yang dilarikan dalam kejadian itu dianggarkan sekurang-kurangnya RM300,000.

Polis juga sedang mengumpul rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah mangsa dan kawasan sekitarnya.

Sebelum itu, polis memaklumkan bahawa kes samun bersenjata di kediaman terbabit tiada kaitan dengan peranan mangsa dalam perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng.

Maklumat kejadian diterima pada jam 7.20 pagi melalui Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Beberapa penjenayah bersenjatakan parang dan memakai penutup muka telah memecah masuk rumah serta melarikan barangan berharga yang disimpan dalam peti besi.

Artikel Berkaitan:

Penjenayah turut mencederakan seorang penghuni, dua pengawal keselamatan serta pemandu peribadi sebelum melarikan diri menggunakan laluan hutan di bahagian belakang rumah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dalam satu kenyataan media pada Khamis, firma guaman Messrs Haijan Omar & Co, yang mewakili Lim Guan Eng, menyifatkan dakwaan yang cuba mengaitkan kejadian itu dengan perbicaraan kes sebagai tidak bertanggungjawab, prejudis dan menjejaskan proses keadilan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!