JAIPk guna AI mantap perkhidmatan syariah

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mula menerapkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam aspek pentadbiran dan perkhidmatan kepada umat Islam di negeri ini.
Pengarah JAIPk, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, langkah tersebut merupakan antara inisiatif jabatan untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian, sekali gus memantapkan pengurusan hal ehwal Islam selaras dengan prinsip syariah.
“Bayangkan bagaimana AI dapat membantu dalam pengurusan zakat dan wakaf, pengumpulan serta analisis data asnaf yang lebih tepat, seterusnya memastikan agihan zakat dan aset wakaf sampai kepada mereka yang berhak dengan lebih pantas," katanya ketika berucap dalam Nadwah Mendepani Cabaran Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Kerangka Syariah Peringkat Kebangsaan di Kelab Golf Diraja Perak, di sini pada Khamis.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dan disertai wakil agensi-agensi agama dari seluruh negara termasuk tokoh ilmuwan Islam, cendekiawan serta pakar teknologi maklumat.
Harith Fadzilah berkata, antara pendekatan awal JAIPk ialah meneroka penggunaan chatbot berasaskan AI yang mampu memberi respons pantas kepada pertanyaan awam berhubung isu nikah, cerai, rujuk dan persoalan agama lain, sekali gus mengurangkan beban di kaunter dan menjimatkan masa pelanggan.
Selain itu, katanya, sistem rekod perkahwinan, perceraian, pengurusan data masjid dan kes mahkamah syariah juga boleh ditambah baik melalui automasi AI yang cekap dan telus.
“AI juga membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami trend soalan agama melalui platform pembelajaran agama interaktif, aplikasi mudah alih untuk rujukan fatwa serta sistem kandungan dakwah yang disesuaikan mengikut keperluan kumpulan sasaran berbeza," jelasnya.
Sementara itu, Saarani dalam sidang media berkata, penggunaan teknologi AI dalam perkhidmatan agama perlu ditangani dengan landasan yang tepat berteraskan wahyu dan kebijaksanaan agar tidak disalah guna hingga memudaratkan umat Islam.
Jelasnya, walaupun AI memberi banyak manfaat, wujud golongan yang mengambil kesempatan menggunakan teknologi itu untuk mencipta kandungan agama palsu atau mengelirukan seperti ‘ustazah palsu’ dan mesej hadis rekaan.
"Kita tak boleh tolak AI kerana ia sudah jadi sebahagian daripada kehidupan kita, macam telefon pintar, tetapi kita kena tangani AI ini dengan panduan wahyu.
“Sebab itu kita ada al-Quran dan hadis sebagai rujukan. Kita perlu dekati AI dengan kebijaksanaan dan bimbingan agama, bukan emosi atau ketakutan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

