RGT3 lonjak pelaburan baharu di Perak, buka 3,000 peluang pekerjaan

Saarani bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Khamis.
Saarani bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Projek Kompleks Terminal Penggasan Semula Ketiga (RGT3) yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menjadi pemangkin baharu pembangunan ekonomi Perak khususnya dalam mempercepatkan pembangunan kawasan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, RGT3 merupakan projek pelaburan strategik baharu yang akan beroperasi di kawasan LuMIC2, salah satu daripada tujuh zon pembangunan yang dirancang dalam rangka Pelan Perak Sejahtera 2030.

Menurutnya, walaupun pengumuman terperinci mengenainya belum dibuat, pengiktirafan projek itu dalam RMK13 membuktikan keyakinan kerajaan Persekutuan terhadap potensi pelaburan di Perak.

“Saya tidak boleh umum bagi pihak syarikat kerana ia adalah syarikat tersenarai awam, jadi mereka kena buat pengumuman rasmi terlebih dahulu.

"Bagaimanapun, apabila disebut dalam RMK13, itu bermakna projek ini merupakan satu pencapaian besar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Nadwah Mendepani Cabaran Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Kerangka Syariah Peringkat Kebangsaan di Kelab Golf Diraja Perak di sini pada Khamis.

Saarani berkata, pelaksanaan RGT3 yang dijangka bermula seawal tahun depan akan memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini khususnya dari sudut penciptaan peluang pekerjaan.

"Sekurang-kurangnya 3,000 tenaga kerja mahir dalam bidang kimpalan (welding) diperlukan. Ini sangat signifikan dengan Pelan Perak Seajhtera 2030 dengan sasaran kita menyediakan sebanyak mungkin peluang pekerjaan.

"Kita juga telah mula mencari jalan untuk melatih bakat-bakat baharu dalam bidang ini," katanya.

Beliau berkata, pemilihan LuMIC2 sebagai tapak projek juga memberi isyarat bahawa Perak dan kawasan Lumut dilihat sebagai lokasi pelaburan yang stabil dan strategik untuk jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, LuMIC2 merangkumi tujuh zon pembangunan yang telah dirancang dan RGT3 merupakan antara projek terawal berskala besar yang akan mempercepatkan pembangunan kawasan tersebut.

“Kita bangunkan LuMIC secara berfasa dalam tempoh 25 tahun. Jadi bila syarikat besar memilih untuk bertapak di LuMIC2, ini akan jadi pemangkin penting kepada pembangunan keseluruhan kawasan perindustrian itu," ujarnya.

Dalam masa sama, Saarani menyambut baik pengumuman RMK13 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyenaraikan beberapa inisiatif pembangunan negeri Perak di bawah pelan jangka panjang tersebut.

"Semua inisiatif yang kita gariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 dimasukkan dalam RMK13. Ini menunjukkan kerajaan Pusat mengiktiraf perancangan kita dan bersedia membantu menjayakannya," katanya.

Media melaporkan, terminal RGT baharu di Lumut itu akan dibangunkan dengan kapasiti pemprosesan gas asli cecair (LNG) sekurang-kurangnya menyamai dua RGT sedia ada iaitu di Sungai Udang, Melaka dan Pengerang, Johor.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!