Belanjawan 2026: KPKT sasar 10,000 projek prasarana awam, mohon peruntukan tambahan

Kor Ming (kiri) bersalaman dengan peniaga Pusat Penjaja Siang Malam dan pengunjung pada Program Sentuhan Kasih 3.0 2025 di Pasar Lama Taiping pada Sabtu.
Kor Ming (kiri) bersalaman dengan peniaga Pusat Penjaja Siang Malam dan pengunjung pada Program Sentuhan Kasih 3.0 2025 di Pasar Lama Taiping pada Sabtu.
A
A
A

TAIPING – [DIKEMAS KINI] Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memohon peruntukan tambahan di bawah projek pembangunan BP1 Jabatan Kerajaan Tempatan sempena pembentangan Belanjawan pada Oktober ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ini kerana pihaknya telah meletakkan sasaran untuk menyiapkan sebanyak 10,000 projek prasarana awam bagi tahun 2026.

Menurutnya, permohonan tersebut didorong oleh prestasi cemerlang pihaknya melaksanakan 6,611 projek pada tahun lalu.

“Kini, kita berjiwa besar untuk menyasarkan sebanyak 10,000 projek dalam tempoh satu tahun bagi prasarana awam.

“Maka saya akan meminta Kementerian Kewangan untuk menambah sekali ganda lagi peruntukan BP1 sebagai antara fokus utama kementerian,” katanya pada sidang akhbar Program Sentuhan Kasih 3.0 2025 di Pasar Lama Taiping pada Sabtu.

Kor Ming (tengah) dalam sidang akhbar Program Sentuhan Kasih 3.0 2025 di Pasar Lama Taiping pada Sabtu.
Kor Ming (tengah) dalam sidang akhbar Program Sentuhan Kasih 3.0 2025 di Pasar Lama Taiping pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh; Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali; Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Mansor Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir.

Justeru Kor Ming berkata, pihaknya akan bertemu dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada penghujung bulan ini bagi mengemukakan cadangan berkaitan.

Artikel Berkaitan:

“Cadangan itu adalah supaya peruntukan bagi prasarana awam, infrastruktur awam dan kemudahan masyarakat dilipat gandakan agar kita dapat mencapai sasaran 10,000 projek tersebut.

“Itu adalah sasaran KPKT di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!