'Port' GRO warga asing diserbu

BUTTERWORTH - Tindakan licik sebuah pusat hiburan di Jalan Bagan Luar di sini yang menutup semua laluan masuk termasuk lif dan pintu tangga selepas menyedari kehadiran penguat kuasa tidak berhasil apabila diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), awal pagi Khamis.
Pasukan serbuan terpaksa memecahkan beberapa pintu besi untuk masuk ke premis yang terletak di tingkat tujuh dalam operasi dilakukan pada jam 1 pagi itu.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman berkata, hasil pemeriksaan ke atas 110 individu membawa kepada penahanan 37 warga asing berusia 23 hingga 45 tahun, termasuk 35 wanita yang dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).

"Seramai 19 daripada wanita itu merupakan warga Vietnam, 14 wanita Thailand, dua lelaki China serta masing-masing seorang wanita warga China dan Laos,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, pada Khamis.
Basri berkata, siasatan mendapati GRO di pusat hiburan terbabit memakai nombor badan untuk membolehkan pelanggan memilih mereka berdasarkan nombor tersebut.
Menurutnya, mereka menerima bayaran antara RM250 hingga RM300 sejam yang dimasukkan dalam sampul surat bertanda nombor badan sama, dipercayai sebagai bayaran perkhidmatan.
"Kita turut menemui beberapa wanita bersembunyi di ruang rahsia seperti di belakang sofa, speaker dan tandas ketika pemeriksaan dilakukan," katanya lagi.
Beliau berkata, premis itu dipercayai telah beroperasi lebih setahun dan menjadi lokasi tumpuan pelanggan tempatan serta asing.
Tambahnya, kesemua individu yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, selain beberapa kesalahan lain termasuk tinggal lebih masa.
"Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk siasatan lanjut sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Jawi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

