Tingkatkan insentif kerjaya jururawat tempatan

Kerajaan perlu memperbaiki insentif kerjaya jururawat tempatan termasuk kenaikan gaji, beban kerja munasabah dan laluan kerjaya yang jelas. Gambar hiasan
Kerajaan perlu memperbaiki insentif kerjaya jururawat tempatan termasuk kenaikan gaji, beban kerja munasabah dan laluan kerjaya yang jelas. Gambar hiasan
A
A
A

CADANGAN Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru untuk membawa masuk jururawat dari Indonesia bagi mengisi kekurangan tenaga kerja kesihatan di Malaysia membuka ruang perdebatan yang menarik.

Usul ini muncul tepat pada waktunya kerana laporan sebelum ini menyatakan bahawa jururawat tempatan kini menanggung beban kerja berat dengan nisbah jururawat kepada pesakit yang tidak lagi ideal.

Menurut laporan Petunjuk Kesihatan 2024, Malaysia mempunyai 118,309 jururawat berdaftar, dengan 66 peratus berkhidmat di sektor awam dan selebihnya di sektor swasta. Bagaimanapun, nisbah jururawat kepada penduduk semakin merosot, daripada 1:279 pada 2022 kepada 1:282 pada 2024.

Dari sudut positif, kerjasama ini berpotensi menyelesaikan dua masalah serentak iaitu kekurangan tenaga kesihatan di Malaysia dan lebihan graduan jururawat di Indonesia. Ia juga boleh meningkatkan lagi hubungan dua hala antara dua negara serumpun.

Namun begitu, langkah ini perlu diteliti secara berhati-hati. Pertama, keutamaan patut diberikan kepada memperbaiki sistem pekerjaan dan latihan jururawat tempatan.

Jika beban kerja dan gaji tidak ditangani, jururawat Malaysia mungkin terus berhijrah ke luar negara, antaranya Singapura dan Asia Barat yang menawarkan gaji lebih lumayan. Statistik tahun 2023 mendapati seramai 2,445 jururawat memohon untuk bekerja di luar negara dan 36 peratus daripadanya bertugas di sektor awam.

Kedua, isu standard profesional juga wajar diberi perhatian. Walaupun pengiktirafan ASEAN membolehkan pergerakan profesional, masih ada keperluan untuk memastikan keseragaman latihan dan etika kerja.

Tambahan pula wujud kebimbangan jika terlalu bergantung tenaga asing, ia boleh menjejaskan peluang pekerjaan graduan kejururawatan tempatan. Sedangkan negara sudah banyak universiti yang menawarkan pengajian kejururawatan.

Justeru, perkara paling penting sebenarnya adalah kerajaan perlu memperbaiki insentif kerjaya jururawat tempatan termasuk kenaikan gaji, beban kerja munasabah dan laluan kerjaya yang jelas, agar mereka tidak lari ke luar negara untuk mencari peluang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Walaupun cadangan KJRI ini wajar dipertimbangkan, namun kita tidak mahu penyelesaian jangka pendek menjadi punca masalah jangka panjang pula.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!