Komuniti peminat sukan berkuda tiada lokasi khas

Kawasan kelapa sawit menjadi lokasi pertandingan kuda lasak kerana tiada lokasi khas untuk sukan itu
Kawasan kelapa sawit menjadi lokasi pertandingan kuda lasak kerana tiada lokasi khas untuk sukan itu
A
A
A

KETIADAAN lokasi khas untuk aktiviti berkuda antara kekangan utama perkembangan lebih pesat sukan ekuestarian di Kelantan selain tidak dapat melahirkan lebih ramai atlet profesional.

Setakat ini, ladang kelapa sawit milik individu antara lokasi peminat sukan berkuda di negeri ini menganjurkan pertandingan lumba dan aktiviti berkaitan.

Wartawan Sinar Harian, ASWANY OMAR mendengar luahan penternak dan komuniti yang terlibat dalam sukan lasak ini.

Komuniti peminat sukan berkuda di negeri ini berharap sokongan kerajaan negeri atau pihak tertentu untuk menyediakan kawasan berfasiliti lengkap untuk aktiviti ekuestrian.

Peminat sukan berkuda, Fatin Najihah Zulkafli, 28, dari Bachok secara peribadi bersetuju jika ada lokasi khas untuk komuniti berkenaan berkumpul dan memudahkan sebarang aktiviti berkaitan.

Fatin Najihah bersama kuda miliknya.
Fatin Najihah bersama kuda miliknya.

“Setakat ini, aktiviti berkuda lebih banyak dilakukan secara individu dan saya pula lebih kerap bawa kuda di tepi pantai berhampiran kediaman,” katanya.

Fatin Najihah yang mempunyai sembilan ekor kuda termasuk baka Arab memberitahu, kebanyakan pemilik kuda menjaga haiwan itu di tanah milik sendiri namun tiada tempat untuk bertemu, berbincang atau menjalani latihan berkumpulan.

Artikel Berkaitan:

Anak bongsu daripada empat beradik itu tidak kisah sekiranya lokasi khas itu berbayar kerana penyelenggaraan dan pengurusan yang baik mampu menjamin kemudahan jangka panjang untuk sukan berkenaan.

Fatin mewarisi minat sukan berkuda daripada arwah bapanya, Zulkafli Awang sejak berusia empat tahun.

“Saya harap ada pihak yang dapat membuka ruang untuk merealisasikan sebuah pusat untuk sukan berkuda sekali gus memperkenalkan Kelantan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, juruladam dari Kampung Bunohan, Tumpat, Mohd Zainuri Jidin 40, berkata, kawasan khas yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antara lain dapat menarik lebih ramai peminat sukan berkuda dari luar Kelantan dan antarabangsa.

Mohd Zainuri memasang ladam kuda yang ditempah pelanggan.
Mohd Zainuri memasang ladam kuda yang ditempah pelanggan.

Mohd Zainuri yang mempunyai empat ekor kuda berkata, lokasi khas yang dilengkapi dengan trek perlumbaan dan kandang juga menyumbang kepada lebih ramai individu yang berminat menyertai sukan itu.

“Kemudahan itu sekurang-kurangnya dapat memberi peluang kepada pemilik dan peminat kuda untuk berlatih dengan lebih selesa dan selamat,” katanya.

Mohd Zainuri berkata, beberapa lokasi yang difikirkan sesuai untuk dibangunkan sebagai aktiviti berkuda ialah kawasan tepi pantai di Bachok dan Pasir Puteh.

“Untuk sukan lumba pula ialah Pengkalan Chepa dilihat strategik dan mudah diakses,” tambahnya.

Sementara itu, pakar pembiak baka kuda, Mohamad Fadlullah Mohamad Razali, 35, pula melihat keperluan mendesak untuk mewujudkan satu lokasi tetap yang berfungsi sebagai pusat aktiviti komuniti berkuda di Kelantan.

Mohamad Fadlullah melakukan proses pembiakan baka kuda.
Mohamad Fadlullah melakukan proses pembiakan baka kuda.

Menurut Mohamad Fadlullah, ketiadaan pusat rasmi yang berskala besar mengehadkan perkembangan sukan berkuda di negeri ini.

Menurutnya, lokasi itu juga boleh meningkatkan program, memudahkan aktiviti berkumpulan, latihan, pertandingan dan pelancongan agro-ekuestrian.

“Selain sukan lasak, kemudahan itu boleh berfungsi sebagai perlumbaan kuda amatur, pertunjukan kuda dan klinik latihan serta menjalankan kursus pembiakan, penjagaan dan latihan kuda secara berstruktur,” katanya.

Mohamad Fadlullah berpendapat, daerah Bachok sangat berpotensi sebagai tapak strategik pusat aktiviti berkuda Kelantan kerana kedudukan geografi yang luas dan sesuai untuk pembangunan trek latihan dan kandang.

Sebagai individu yang berpengalaman luas dalam dalam pengurusan pembiakan dan latihan kuda dalam dan luar negara, Mohamad Fadlullah sedia berkongsi kepakaran dan sumber untuk membangunkan industri itu.

Segerakan pembinaan Kompleks Ekuin Kelantan

Kerajaan Kelantan dan Pusat perlu memainkan peranan memenuhi keperluan komuniti peminat sukan berkuda untuk memperkasakan program rakyat bagi mengelak terjebak perkara negatif.

Presiden Persatuan Ekuestrian Negeri Kelantan (Baru), Ahmad Faris Yusof berkata, pembinaan Kompleks Ekuin Kelantan sebenarnya tidak terhad untuk sukan berkuda tetapi boleh menjadi pusat sehenti golongan belia menganjurkan pelbagai program jika tiada sebarang kejohanan.

“Antaranya ialah perkhemahan sekolah, program sukan rakyat dan tempat sewaan penginapan pakej pelancongan sambil menunggang kuda,” katanya.

Beliau memberitahu, daerah Bachok sesuai untuk membangunkan kompleks seumpama itu kerana ramai penternak dan pemilik kuda selain di Pengkalan Chepa dan Pasir Puteh.

“Kita cadangkan kerajaan menggazet sebidang tanah antara tiga hingga empat hektar untuk tujuan pembinaan kompleks itu sebagai persiapan Sukan Malaysia Kelantan 2028,” katanya.

Jelas beliau, kompleks itu juga boleh dikongsi bersama pengusaha pusat pembakaan kuda untuk dibiakkan sekali gus dapat mengurangkan kos pemilik kerana sudah ada lokasi khas.

“Kita mencadangkan kerajaan negeri melantik atau menubuhkan syarikat untuk menguruskan setiap struktur di kompleks itu supaya lebih terjaga dan tersusun,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!