Kelantan rancang sediakan kemudahan khas untuk pemilik 'motorhome'

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan bersedia menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada pemilik 'motorhome' susulan aduan yang diterima daripada pemilik kenderaan berkenaan sebelum ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pihaknya merancang untuk membina kawasan parkir khas bagi kenderaan itu selepas menyedari ramai pemilik 'motorhome' datang ke Kelantan untuk melawat lokasi tertentu, terutama pada cuti umum.
Menurut beliau, sebelum ini pihaknya menerima aduan daripada pemilik kenderaan itu mengenai ketiadaan air dan beberapa kemudahan di lokasi persinggahan mereka.
“Tahun lepas, lebih 250 pemilik kenderaan itu datang berkumpul di Kelantan dan kami menerima aduan berkaitan masalah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Malaysia Book of Records kepada Hotel Renai pada Isnin.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Azi Rahimee Mohamed; Pengarah Eastern Biscuit Factory Sdn Bhd, Datuk Alvin Lim; dan Pemangku Pengurus Besar Renai Hotel, Nik Adura Zuliana Datuk Nik Abdul Rashid.
Selain itu, Kamarudin berkata, pihaknya juga berusaha untuk merancakkan lagi aktiviti berkuda sebagai tarikan baharu di Kelantan dengan menyediakan kawasan ekuestrian.
"Banyak lagi aktiviti lain yang akan dilaksanakan, iaitu menelusuri sungai membabitkan dua sungai utama iaitu Sungai Kelantan dan Sungai Pengkalan Datu," katanya.
Menurut beliau, aktiviti itu eksklusif kerana bot yang digunakan lebih kecil dan memuatkan kira-kira 18 individu pada satu masa.
“Pelancong boleh menikmati keindahan matahari terbit dan terbenam setiap hari, selain melalui beberapa lokasi bersejarah di sepanjang sungai,” katanya.
Sementara itu, Nik Adura Zuliana memberitahu, Hotel Renai Kota Bharu mencipta sejarah apabila mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records melalui tiga anugerah iaitu perhimpunan iftar terbesar di sebuah hotel, hidangan terbanyak disajikan di bufet Ramadan hotel, dan gerai makanan jalanan dalam dewan terpanjang di sebuah hotel.
Beliau berkata, pengiktirafan itu membuktikan dedikasi hotel berkenaan dalam memberikan pengalaman Ramadan yang luar biasa kepada pelanggan.
Menurut beliau, hotel itu secara rasmi menyambut 1,150 tetamu setiap hari untuk menikmati 252 menu berbuka puasa, membabitkan sepanjang 200 meter hidangan di ruang foyer dewan.
Nik Adura memberitahu, bufet hidangan tradisional Melayu dan antarabangsa disediakan oleh pasukan dapur hotel yang diketuai Chef Eksekutif Izan Ismail, yang berpengalaman selama 31 tahun dalam bidang kulinari.
Anugerah tersebut disampaikan oleh wakil Malaysia Book of Records, Siti Hajar Johor.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
