Malaysia jadi pusat latihan utama Topcon di Asia Tenggara

Takashi (tengah) dan Sze Han (dua dari kanan) memotong riben sebagai simbolik semasa Majlis Pelancaran TMTC di Kota Kemuning di sini pada Rabu. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Takashi (tengah) dan Sze Han (dua dari kanan) memotong riben sebagai simbolik semasa Majlis Pelancaran TMTC di Kota Kemuning di sini pada Rabu. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat teknologi pembinaan terkemuka dari Jepun, Topcon Corporation memilih Malaysia sebagai hab latihan utama di Asia Tenggara dengan pembukaan rasmi Topcon Malaysia Training Center (TMTC) di sini pada Rabu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Takashi Eto berkata, pemilihan Malaysia bukanlah secara kebetulan, sebaliknya dibuat berdasarkan potensi besar negara ini dalam pembangunan infrastruktur dan kesediaan menerima teknologi baharu.

"Malaysia adalah negara sedang membangun yang sangat strategik di Asia Tenggara. Kami percaya ini lokasi terbaik untuk memperkenalkan teknologi baharu kami di rantau ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran TMTC di Kota Kemuning di sini pada Rabu.

Menurut Takashi, pembukaan TMTC sebahagian daripada usaha Topcon untuk memperkukuh ekosistem pembinaan melalui penggunaan teknologi canggih seperti penyelesaian digital, pemetaan dan automasi tapak pembinaan.

Beliau menambah, Malaysia dipilih sebagai pangkalan utama kerana kestabilan ekonominya dan hubungan diplomatik yang kukuh dengan Jepun selain menyokong kerjasama dua hala dalam bidang teknologi dan latihan kemahiran.

"Kami ada lebih 2 juta pelanggan di seluruh Asia dan kami mahu memanfaatkan TMTC ini bukan hanya untuk Malaysia, tetapi sebagai pusat serantau yang mampu menyediakan latihan teknikal kepada pelanggan dan institusi dari negara-negara jiran termasuk Indonesia dan Taiwan," jelas beliau.

Mengulas lanjut, Takashi menjelaskan, pusat latihan itu mampu menampung kira-kira 30 peserta bagi setiap sesi dengan tempoh latihan antara dua hari hingga dua minggu bergantung kepada modul dan keperluan pelanggan.

Ujar beliau, beberapa agensi kerajaan Malaysia seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah pun menunjukkan minat untuk menjalinkan kerjasama termasuk dalam penganjuran Digital Construction Summit yang bakal berlangsung Oktober depan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menegaskan, pelaburan yang dibawa oleh Topcon bukan sekadar membuka pusat latihan, tetapi menjanjikan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi, pemindahan teknologi dan peningkatan nilai tambah industri pembinaan tempatan.

"Teknologi kami membolehkan kerja pembinaan dijalankan dengan lebih efisien dan selamat kerana kami tidak percaya kepada pembinaan murah semata-mata, sebaliknya percaya kepada kualiti serta keselamatan jangka panjang demi kesejahteraan rakyat," jelas beliau.

Beliau turut menyentuh mengenai potensi kerjasama masa depan dalam pengurusan bencana seperti banjir.

"Pengalaman Jepun dalam menangani bencana boleh dikongsi bersama Malaysia melalui platform latihan dan teknikal yang disediakan di TMTC.

"Pusat TMTC ini juga menjadi simbol pelaburan jangka panjang Jepun dalam pembangunan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi selain memperkukuh lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

"Kami berharap pusat ini menjadi permulaan kepada lembaran baharu dalam industri pembinaan Malaysia dan Asia Tenggara," kata beliau.

Sementara itu, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, pembukaan TMTC di Selangor disifatkan satu pencapaian penting dalam usaha kerajaan negeri menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memacu pembangunan modal insan di negeri ini.

Jelas beliau, pemilihan Selangor oleh Topcon Corporation, sebagai lokasi pertama pusat latihan mereka di Malaysia dan Asia Tenggara membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap ekosistem pelaburan negeri ini.

"Selangor kini menjadi destinasi untuk pusat latihan bertaraf antarabangsa kerana kita bukan sahaja berjaya tarik pelaburan, tetapi juga komited membangunkan bakat tempatan.

"Ini selaras dengan hala tuju kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor peneraju pembangunan modal insan,” tambah beliau.

Beliau berkata, kehadiran pusat latihan seperti TMTC bukan hanya membawa teknologi ke negeri ini, malah membuka peluang pembangunan dalam pelbagai sektor seperti pertanian dan pembinaan, selain menjadikan proses kerja lebih efisien dan moden.

"Masalah utama yang dihadapi banyak syarikat hari ini ialah kekurangan tenaga mahir. Dengan adanya pusat seperti ini, kita dapat latih lebih ramai bakat tempatan dan isi kekosongan tersebut dengan lebih efektif,” ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!