Tak sempat bertanya khabar, lelaki cedera diserang sekumpulan individu
SUBANG JAYA – Hasrat seorang lelaki untuk menyapa kenalan lama bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia diserang sekumpulan individu di Medan Selera Puchong Permai, di sini, Rabu lalu.
Mangsa, seorang lelaki tempatan, mendakwa kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika dia sedang berada di lokasi berkenaan dan menegur seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Mat’.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, tindakan mangsa yang sekadar ingin menyapa kenalan lamanya itu dipercayai telah disalah erti oleh individu lain sebelum dia diserang secara tiba-tiba.
“Beberapa lelaki datang dan menolak mangsa sebelum seorang daripada mereka menuduh mangsa cuba mengganggu isterinya.
“Tidak lama kemudian, sekumpulan lelaki menyerang mangsa dengan tangan sehingga menyebabkan kecederaan di muka,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Wan Azlan berkata, mangsa mengalami bengkak di muka dan telah mendapatkan rawatan di hospital berdekatan.
Berikutan laporan polis yang dibuat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menjalankan siasatan lanjut dan berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 35 tahun.
“Tangkapan dilakukan kira-kira jam 1 pagi Ahad dan hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
“Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada hari sama bagi permohonan reman, namun permohonan ditolak selepas mangsa menarik semula laporan yang dibuat.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil menyalurkannya kepada pihak polis.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222 atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Khairulazizi Ismail di talian 019-281 7820,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

