MAIPk beri 50 motosikal bantu asnaf berniaga

IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta tahun ini bagi memperkasakan ekonomi golongan asnaf termasuk pelaksanaan dua program utama.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, dua program tersebut ialah Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A) dan Program Usahawan Payung Asnaf (Upaya) yang bertujuan membuka peluang perniagaan kepada golongan asnaf menerusi pelbagai pendekatan bersifat moden dan dinamik.
Menurutnya, pada tahun ini juga MAIPk menyediakan sebanyak 50 motosikal lengkap dengan kit perniagaan kepada peserta yang menyertai projek baik pulih telefon pintar dan perkhidmatan gunting rambut secara bergerak di bawah Proper A.

“Model perkhidmatan secara bergerak ini ialah projek rintis yang pertama kali diperkenalkan tahun ini. Kami percaya pendekatan ini mampu memberi nilai tambah kepada peserta dan pada masa yang sama, memenuhi keperluan masyarakat setempat.
“Kami berharap usaha ini membuahkan hasil yang lumayan kepada mereka, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup dan menjana pendapatan yang stabil,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kelengkapan Perniagaan Usahawan dan Pelancaran Program Usahawan Payung Asnaf (Upaya) Tahun 2025 di Vetro Hall Galasa di sini pada Selasa.
Syamsul Hazeman berkata, program Proper A melibatkan seramai 70 peserta asnaf yang turut ditawarkan kursus baik pulih telefon pintar, perkhidmatan gunting rambut, serta francais minuman kopi dan Roti Kaya Junus.
“Bagi peserta francais, mereka menerima sokongan penuh daripada jenama yang terlibat termasuk aspek pemasaran dan operasi perniagaan harian.
“Malah, MAIPk turut menyediakan bantuan dana antara RM8,000 hingga RM14,000 kepada setiap peserta bergantung kepada jenis perniagaan yang diceburi,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, di bawah program Upaya, seramai 60 peserta asnaf diberi pendedahan untuk menjalankan perniagaan dalam bidang makanan menerusi kerjasama dengan beberapa pengusaha jenama tempatan.
“Setiap peserta dibantu dari segi penyediaan peralatan, latihan, pemantauan antara tiga hingga enam bulan serta bimbingan berterusan daripada MAIPk.
“Program ini juga membantu peserta menguasai kemahiran perniagaan secara lebih menyeluruh dan berdaya saing,” katanya.
Syamsul Hazeman berkata, semua peserta program turut mengikuti pelbagai kursus asas keusahawanan yang dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka.
“Kursus tersebut merangkumi pengurusan kewangan, pemasaran digital, pensijilan halal, penampilan serta imej usahawan, seminar motivasi dan hala tuju perniagaan.
“Kami sentiasa berusaha memastikan tiada lambakan sesuatu produk atau perkhidmatan di pasaran. Oleh itu, pendekatan baharu sentiasa dicari agar program yang ditawarkan kekal relevan dengan keperluan semasa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

