CGM bantu asnaf, golongan tiada warganegara di Lahad Datu

CGM menyerahkan Bakul Rezeki Ramadan 2025 kepada golongan memerlukan di Lahad Datu, Sabah.
CGM menyerahkan Bakul Rezeki Ramadan 2025 kepada golongan memerlukan di Lahad Datu, Sabah.
A
A
A

SHAH ALAM- Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) meneruskan sumbangan bantuan kepada golongan asnaf dan individu tiada warganegara atau stateless di Lahad Datu, Sabah.

Wakilnya, Nur Hafizah Abdul Hakim berkata, sumbangan tersebut bertujuan untuk memeriahkan Ramadan dan berkongsi rezeki bersama golongan kurang bernasib baik bersempena kempen #GazaUntukMalaysia.

Menurutnya, seramai 200 orang di sekitar Lahad Datu iaitu di Pulau Tebah Batang dan Kampung Semut (Silam) menerima Bakul Rezeki Ramadan 2025 yang mengandungi beras, gula, minyak masak, tepung gandum, telur serta beberapa barangan lain.

“Kempen ini tidak hanya fokus di Semenanjung Malaysia, tetapi juga di Sabah, dan kita tahu bahawa golongan asnaf serta stateless ini tidak diberi perhatian sepenuhnya daripada sudut pembangunan sosial atau keupayaan untuk hidup berdikari.

“CGM mengambil inisiatif bersempena bulan Ramadan ini untuk terus menabur bakti di tanah air walaupun CGM sendiri adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi fokus tentang Palestin,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Dalam pada itu, CGM turut mengalu-alukan sumbangan dan kerjasama daripada semua pihak bagi memastikan setiap bantuan serta projek dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!