Penerbangan ditunda gara-gara lelaki dakwa bawa bom dalam pesawat

JAKARTA - Seorang lelaki mencetuskan kekecohan apabila menjerit bahawa terdapat bom dalam pesawat ketika penerbangan dari Jakarta ke Medan.
Menurut laporan portal Indonesia, Detik News, lelaki dikenali sebagai H itu menjerit bahawa dia membawa bom dalam pesawat milik Lion Air.
Lelaki tersebut secara tiba-tiba mengamuk ketika pesawat sedang bergerak menuju ke landasan untuk berlepas dari Terminal 1A, Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.
Pelaku segera ditahan dan dibawa ke terminal untuk disoal siasat oleh Pihak Berkuasa Lapangan Terbang.
"Seramai 181 penumpang lain akhirnya dapat meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Kualanamu dengan menggunakan pesawat lain," kata seorang wakil daripada Lion Air.
Di bawah Undang-undang No 1 Tahun 2009, sebarang jenaka atau ancaman berkaitan bom dalam pesawat dianggap sebagai jenayah berat.
Pelaku boleh berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun dan sehingga lapan tahun sekiranya tindakannya mengganggu operasi penerbangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
