X

Kindly register in order to view this article
!

Solat Jumaat di Selangor ditangguh sehingga 17 April

Sultan Sharafuddin
Sultan Sharafuddin
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar solat Jumaat di negeri ini ditangguhkan sehingga 17 April ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani bagaimanapun berkata, baginda menitahkan solat Jumaat itu wajib digantikan dengan solat Zuhur di rumah masing-masing.

"Solat berjemaah, aktiviti-aktiviti ceramah dan kuliah agama di masjid dan surau di Selangor juga perlu ditangguhkan sehingga 17 April ini.

"Namun demikian, sekiranya wabak ini dapat dibendung dan diatasi dalam satu tempoh yang lebih awal, maka satu arahan baharu akan dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin juga bertitah agar laungan azan hendaklah terus dilaksanakan seperti kelazimannya bagi menandakan masuk waktu solat.

"Baginda bertitah bagi memohon perlindungan ALLAH agar penularan wabak Covid-19 ini agar segera berakhir, maka Qunut Nazilah digalakkan untuk dibaca oleh semua rakyat Selangor.

"Ketetapan ini selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 16 Mac 2020," katanya.

Katanya, baginda turut menasihatkan rakyat Selangor agar tidak hadir dan tidak berkumpul di tempat-tempat awam khususnya jika mereka mempunyai simptom Covid-19.

"Ini bagi mengelakkan penularan virus berbahaya ini kepada lebih ramai rakyat di negeri ini.

"Baginda menyeru agar semua rakyat Selangor mendoakan kesejahteraan diri, keluarga dan rakyat setiap kali selepas mengerjakan solat," katanya.

Menurutnya, adalah menjadi hasrat dan harapan Sultan Sharafuddin supaya rakyat bersabar dan memberi kerjasama sepenuhnya dalam usaha kerajaan memastikan keselamatan rakyat.

"Baginda turut mendoakan agar keadaan kembali pulih seperti biasa dan seluruh rakyat dilindungi ALLAH, serta dijauhi dari segala bala dan bencana," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!