Gabungan profesional, sukarelawan perkasa misi al-Quran

SHAH ALAM – Lapan calon daripada pelbagai latar belakang profesional dan kerjaya dipilih sebagai calon Anugerah Tokoh Rumah Ngaji 2025 sempena Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia pada Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, kepelbagaian latar belakang calon itu mencerminkan kekuatan kolaboratif antara golongan profesional dan sukarelawan dalam memperkasa budaya Baca, Faham dan Amal al-Quran di seluruh negara.
“Mereka bukan sahaja mengajar dan memimpin tetapi juga mengorak langkah memupuk komuniti berlandaskan nilai al-Quran.
“Calon-calon ini menunjukkan bahawa Rumah Ngaji bukan hanya tempat belajar tetapi medan perubahan sosial dan pemerkasaan masyarakat ke arah ‘MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah’ menjelang tahun 1,500 Hijrah,” katanya pada Ahad.
Anugerah itu disampaikan dalam majlis yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Setiap calon dipilih berdasarkan dedikasi mereka dalam menyuburkan komuniti dengan nilai al-Quran secara sukarela, sekali gus menjadikan Rumah Ngaji sebagai pencetus perubahan dalam masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
