MTHQA#QuranHour program berimpak tinggi - Jakim

KUALA LUMPUR – MTHQA#QuranHour 2025 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) merupakan program berimpak tinggi dalam memupuk budaya membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, MTHQA#QuranHour merupakan satu inisiatif yang menggalakkan interaksi menyeluruh dengan al-Quran sebagai panduan kehidupan sejagat.
“Ia diilhamkan sebagai dorongan untuk menggilap potensi setiap individu berdasarkan sistem kehidupan yang digariskan al-Quran dan dipandu oleh sunnah Rasulullah SAW, dengan matlamat membentuk legasi akhlak dalam usaha membangun negara dan dunia yang berbudi serta penyayang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, MTHQA#QuranHour yang diadakan bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa (MTHQA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL) menjadi elemen penting dalam membentuk ummah madani yang lebih harmoni dan progresif,
Tema utama edisi kali ini iaitu ‘Membangun Ummah Madani’ adalah selari dengan hasrat memperkukuh penyatuan, ketaatan kepada Allah dan Rasul, serta perjuangan dan strategi membentuk masyarakat berdisiplin.
“Tema ini menjadi elemen penting dalam membentuk ummah Madani yang lebih harmoni dan progresif dengan menjadikan surah al-Saff sebagai rujukan utama,”ujarnya.
Antara personaliti al-Quran yang menyertai MTHQA#QuranHour 2025 ialah Fazrul Ismail dan Dr Shafiq Sahimi selaku pentadabbur, Ustaz Tirmizi Ali (Johan Qari MTHQA 2014), Ustaz Husaini Mahmur, Ustaz Amirahman Abas (Johan Qari MTHQA 2011) serta Syeikh Mo’min Falah dari Palestin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

