Zionis tembak mata remaja Palestin cari makanan untuk keluarga

BANDAR GAZA - Seorang remaja Palestin mengalami kecederaan pada mata kirinya akibat ditembak askar Zionis ketika mahu mendapatkan makanan untuk keluarganya di hab bantuan, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang digelar sebagai 'perangkap maut' oleh komuniti antarabangsa.
Menurut doktor, Abdul Rahman Abu Jazar, 15, mungkin kehilangan sebelah mata disebabkan insiden keganasan yang terus menyasarkan pencari bantuan di Genting Gaza.
Ketika menceritakan detik mengerikan itu, remaja lelaki tersebut mendakwa tentera Israel terus melepaskan tembakan ke arahnya meskipun peluru sudah mengenai matanya.
“Ia merupakan pertama kali saya ke pusat bantuan itu. Saya terpaksa ke sana meskipun lokasinya agak jauh kerana adik-beradik saya kelaparan,” ujarnya yang berjalan bersama penduduk Palestin lain sehingga ke mereka tiba di Taman al-Muntazah di Bandar Gaza kira-kira lima jam kemudian.
Menurutnya, mereka lari bertempiaran selepas tembakan rambang mula dilepaskan.
“Ketika cuba melarikan diri tubuh saya seperti terkena renjatan elektrik hingga saya rebah ke tanah lalu pitam.
“Selepas sedarkan diri semula, saya masih mendengar tembakan bertalu-talu dilepaskan ke arah pencari bantuan. Saya amat takut dan hanya mampu berdoa,” katanya dalam nada hiba.
Abu Jazar yang sudah menjalani pembedahan dan matanya masih berbalut berharap penglihatannya kembali pulih seperti biasa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

