Penyerang Saif Ali Khan mahu RM1,500 untuk buat kad pengenalan palsu

Polis menahan Shehzad di Thane tiga hari selepas serangan terhadap Saif Ali Khan di kediamannya. Foto Agensi
Polis menahan Shehzad di Thane tiga hari selepas serangan terhadap Saif Ali Khan di kediamannya. Foto Agensi
A
A
A

MUMBAI – Lelaki warga Bangladesh yang menyerang pelakon terkenal Bollywood, Saif Ali Khan, dipercayai merancang mencuri 30,000 rupee (kira-kira RM1,543) bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri palsu untuk memohon pasport India, menurut polis Mumbai pada Isnin.

Tertuduh, Mohammad Shariful Islam Shehzad, memberitahu polis bahawa dia mahu memperoleh kad Aadhaar dan kad PAN palsu sebagai langkah awal untuk mendapatkan pasport India, yang kemudiannya akan digunakan bagi memohon visa kerja ke luar negara.

Kad Aadhaar merupakan nombor pengenalan nasional unik yang digunakan secara meluas untuk urusan rasmi di India, manakala kad PAN (Permanent Account Number) pula digunakan untuk urusan percukaian serta sebagai dokumen pengenalan kewangan.

Dalam kejadian pada 16 Januari lalu, Shehzad memecah masuk ke kediaman Saif di kawasan Bandra, Mumbai, melalui saluran penyaman udara setelah memanjat bangunan bersebelahan dan memotong jaring keselamatan.

Ketika berada di dalam rumah, dia menuntut wang daripada pengasuh dan mendakwa memerlukan satu crore rupee (RM512,800). Saif yang muncul secara tiba-tiba cuba menahannya namun diserang dengan pisau di bahagian belakang dan lengan. Pelakon itu kemudiannya dimasukkan ke Hospital Lilavati dan dibenarkan pulang selepas lima hari dirawat.

Shehzad melarikan diri melalui tingkap dan menggunakan paip untuk turun sebelum ditahan tiga hari kemudian di Thane. Dia mengaku memasuki India secara haram lapan bulan sebelum kejadian dan bekerja sementara di sebuah hotel di Mumbai. – Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!