28 undang-undang perburuhan bawah Kesuma disemak semula

Steven. Foto Bernama
Steven. Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Sumber Manusia telah memulakan inisiatif menyemak semula 28 undang-undang perburuhan di bawah kementerian itu bagi memastikan peruntukan yang sudah lapuk dapat dimurnikan dan diselaras dengan amalan terbaik semasa.

Menteri berkenaan, Steven Sim berkata, proses semakan meliputi beberapa undang-undang utama termasuk Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak yang sebahagiannya sudah lama wujud iaitu sebelum merdeka.

"Kita kena faham bahawa sumber manusia ini antara kebidangan paling lama, paling bersejarah dan paling tua… undang-undang perburuhan kita pun adalah undang-undang yang lama.

"Ada yang sebelum merdeka… jadi, semua ini perlu dilihat dan disemak semula," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Sempena Hari Kesatuan Sekerja Peringkat Negeri Sabah yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di sini pada Isnin.

Turut hadir, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Dr Adnan Mat dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS), Mohd Asri Abdul Wahab.

Steven berkata, antara contoh pindaan ialah peruntukan lapuk di bawah Ordinan Buruh Sabah yang tidak membenarkan wanita bekerja selepas waktu malam dan ia telah dimansuhkan pada tahun lepas.

"Mungkin kita tidak dapat selesaikan semakan ini pada tahun ini tetapi kita cuba sebanyak yang boleh, kita nak lihat supaya undang-undang perburuhan negara kita adalah terkini dan selaras dengan amalan terbaik masa kini," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan merancang untuk menghapuskan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak serta menyeragamkannya di bawah Akta Kerja, beliau berkata, tiada perancangan sedemikian buat masa ini memandangkan wujudnya beberapa peruntukan khusus untuk kedua-dua negeri dalam ordinan terbabit.

"Kita hanya sekadar memurnikan iaitu menyelaraskan ia supaya semua hak pekerja adalah sama. Dalam Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak ada peruntukan serta proses rundingan dengan kerajaan negeri yang tidak ada di dalam Akta Kerja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Steven berkata, selain semakan semula undang-undang perburuhan, kementerian itu dijadual membentangkan Rang Undang-Undang Pekerja Gig dalam sidang Parlimen bulan ini untuk memberi perlindungan kepada pekerja terbabit. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!