Kes dadah di Kelantan turun 5.4 peratus dalam tiga bulan

KOTA BHARU - Kelantan mencatatkan penurunan penagihan dan penyalahgunaan dadah sebanyak 5.4 peratus, membabitkan 11,280 individu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, negeri ini berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Malaysia bagi kadar penagih dan penyalahgunaan dadah per 100,000 penduduk, dengan 597 kes, selepas Terengganu yang merekodkan sebanyak 663 kes dan Perlis dengan 609 kes.
Beliau memberitahu, penurunan itu ada kaitan dengan usaha dan inisiatif yang diambil oleh pelbagai pihak melibatkan aktiviti penguatkuasaan serta pelaksanaan program pencegahan dan kawalan di sempadan.
"Kelantan dan negeri yang berada di sempadan berisiko kerana mudah menerima bekalan, tetapi polis di negeri ini sentiasa aktif mengawal aktiviti pengedaran di kawasan berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Jelas beliau, penutupan jalan tikus serta pangkalan haram membolehkan aktiviti keluar masuk bahan terlarang daripada negara jiran dikawal selia secara lebih teratur.
Ruslin turut memberitahu, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, penyalahgunaan dadah sintetik termasuk pil kuda merupakan yang tertinggi di Kelantan, melibatkan seramai 10,071 orang atau 89.3 peratus daripada keseluruhan kes.
"Ini diikuti oleh penggunaan dadah jenis opiat dengan 766 kes atau 6.8 peratus, pil psikotropik pula sebanyak 277 kes atau 2.5 peratus dan ganja merekodkan 41 kes atau 0.4 peratus.
"Lain-lain kategori bahan ketagihan ialah sebanyak 277 kes atau 6.8 peratus," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan AADK mengesan seramai 108,409 penagih dan penyalahgunaan dadah di seluruh negara sehingga Mac tahun ini.
Data itu menunjukkan penurunan sebanyak 10.5 peratus berbanding 121,170 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
