Cap palsu pasport terbongkar, warga Indonesia ditahan

AKPS menahan seorang lelaki warga Indonesia selepas pegawai imigresen mengesan beberapa cap keluar dan masuk pada pasportnya yang meragukan. Gambar hiasan
AKPS menahan seorang lelaki warga Indonesia selepas pegawai imigresen mengesan beberapa cap keluar dan masuk pada pasportnya yang meragukan. Gambar hiasan
A
A
A

SEPANG – Seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas dikesan memiliki cap keselamatan mencurigakan ketika melalui pemeriksaan imigresen di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada Sabtu.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan memaklumkan, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.30 petang selepas pegawai imigresen mengesan beberapa cap keluar dan masuk pada pasportnya yang meragukan.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki tersebut memasuki Malaysia melalui pintu masuk Pasir Gudang, Johor pada 18 Julai 2022 dan direkodkan keluar dari negara ini melalui KLIA pada 13 Ogos 2022.

“Namun, terdapat beberapa cap keselamatan pergerakan keluar dan masuk atas nama subjek bermula tahun 2022 hingga 2025 yang menimbulkan keraguan,” katanya.

Menurut AKPS, semakan lanjut melalui Sistem MyIMMs mendapati tiada sebarang rekod rasmi pergerakan keluar atau masuk bagi lelaki itu sepanjang tempoh tersebut.

“Dalam keterangannya kepada pegawai penyiasat, subjek mengaku tidak pernah meninggalkan Malaysia sejak tahun 2022.

“Dia juga memaklumkan telah membelanjakan sebanyak RM4,000 untuk mendapatkan cap keselamatan tersebut,” jelas kenyataan itu.

AKPS memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab memalsukan cap keselamatan berkenaan.

“Kes ini akan dibawa untuk tindakan tatatertib dan kesalahan jenayah berkaitan pemalsuan dokumen perjalanan atau sebarang pelanggaran undang-undang imigresen yang lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!