Pengurup wang turut terjejas Covid-19

Premis pengurup wang di bandar Georgetown, Pulau Pinang. - Foto 123rf
Premis pengurup wang di bandar Georgetown, Pulau Pinang. - Foto 123rf
A
A
A

GEORGE TOWN - Persatuan Saudagar-Saudagar Permata dan Penukar Wang Muslim Pulau Pinang mohon kerajaan turut memberi perhatian terhadap perniagaan pengurup wang yang menerima tempias daripada pandemik koronavirus (Covid-19).

Timbalan Presiden persatuan itu, Munower Sadiq berkata, industri pengurup wang sangat bergantung kepada industri pelancongan yang kini terjejas teruk.

"Situasi berkenaan telah menyebabkan pengurup wang terjejas teruk dan pendapatan perniagaan menurun sehingga 80 peratus," katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi.

Beliau berkata, persatuan pengurup wang berasa tersisih dan dipinggirkan apabila industri itu tidak dinyatakan dalam pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

"Pihak kami amat berharap Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz turut menyenaraikan industri pengurup wang yang kini dikenali sebagai Perniagaan Perkhidmatan Wang (MSB) dalam semua skim atau program yang telah diumumkan atau pada masa akan datang," katanya.

Munower berkata, persatuan itu turut meminta agar kerajaan menyenaraikan industri MSB sebagai kategori yang layak untuk menerima manfaat Dana Bantuan Khas (SRF).

Katanya persatuan juga berharap sektor kewangan terutamanya bank untuk menyediakan akses kepada produk kewangan bagi peserta industri itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: