Pulangan tak dapat, wang simpanan RM230,000 lesap

KUANTAN- Seorang jurutera mengalami kerugian sebanyak RM230,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Kejadian bermula apabila lelaki berusia 67 tahun dari Jerantut menerima satu pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang individu pada 14 Julai lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek telah menawarkan peluang pelaburan dalam Bursa Saham menerusi sebuah syarikat dikenali sebagai Elite Group kepada warga emas tersebut.
Menurutnya, mangsa kemudian ditawarkan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan sebanyak RM150,000 jika melabur sebanyak RM50,000 dalam tempoh singkat.
“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa bersetuju dan mula membuat sembilan kali transaksi pembayaran ke empat akaun bank berbeza.
“Transaksi dilakukan mangsa bermula pada 16 hingga 31 Julai melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM230,000,” katanya pada Ahad.
Ujarnya, berdasarkan laporan, selepas pembayaran dibuat, mangsa diminta untuk membuat bayaran tambahan atas alasan kononnya terdapat masalah semasa pemprosesan pelaburan.
“Mangsa yang menggunakan wang simpanan bagi tujuan pelaburan ini akhirnya menyedari dirinya telah ditipu,” katanya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, khususnya yang dipromosikan melalui media sosial.
Menurutnya, sebelum melakukan sebarang transaksi, semakan awal boleh dibuat di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.
“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

