Pengurus syarikat rugi RM703,000 terpedaya pelaburan tidak wujud

Mangsa membuat pelaburan secara berperingkat menerusi tujuh transaksi ke empat akaun bank berbeza sebelum menyedari ditipu. Gambar kecil: Yahaya. Foto hiasan
Mangsa membuat pelaburan secara berperingkat menerusi tujuh transaksi ke empat akaun bank berbeza sebelum menyedari ditipu. Gambar kecil: Yahaya. Foto hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengurus syarikat mengalami kerugian sebanyak RM703,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang beroperasi melalui aplikasi WhatsApp.

Wanita berusia 47 tahun itu dikatakan telah memuat turun aplikasi pelaburan yang diberikan suspek pada awal Julai 2024.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa kemudiannya membuat pelaburan secara berperingkat menerusi tujuh transaksi ke empat akaun bank berbeza.

"Melalui aplikasi tersebut, mangsa dimaklumkan mengenai keuntungan yang diperoleh, namun tidak dibenarkan untuk membuat pengeluaran. Mangsa menyedari ditipu setelah diminta menambah modal pelaburan," katanya pada Ahad.

Yahaya memberitahu, berdasarkan laporan dibuat sumber dana yang digunakan oleh mangsa termasuk wang simpanan sendiri, wang suami dan pinjaman daripada majikannya.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan rasmi Polis Diraja Malaysia, https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!