Pesara kerani rugi RM600,000 ditipu skim pelaburan dalam talian

Seorang pesara berusia 55 tahun mengalami kerugian sebanyak RM600,000 selepas diperdaya oleh skim pelaburan dalam talian tidak wujud yang dikenali sebagai AI Investment pada Mei lalu. Gambar hiasan
Seorang pesara berusia 55 tahun mengalami kerugian sebanyak RM600,000 selepas diperdaya oleh skim pelaburan dalam talian tidak wujud yang dikenali sebagai AI Investment pada Mei lalu. Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang pesara berusia 55 tahun mengalami kerugian sebanyak RM600,000 selepas diperdaya oleh skim pelaburan dalam talian tidak wujud yang dikenali sebagai AI Investment pada Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa, iaitu seorang wanita warga tempatan yang tinggal di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, dikatakan tertarik dengan iklan pelaburan tersebut di Facebook sebelum menekan pautan yang diberikan.

“Dia kemudian berhubung dengan seorang suspek lelaki melalui WhatsApp dan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dikenali sebagai ‘Jin Yi Shi Guan’.

“Pelaburan itu menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat bergantung kepada jumlah modal yang dilaburkan. Mangsa diminta memuat turun aplikasi ‘AI INV’ melalui pautan yang diberi sebelum mendaftar sebagai ahli,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah, mangsa yang merupakan bekas kerani itu telah melakukan enam transaksi pemindahan wang ke enam akaun syarikat berbeza berjumlah RM600,000 pada 11 Julai lalu.

“Suspek turut meminta bayaran tambahan sebagai syarat pengeluaran wang.

“Mangsa hanya sedar ditipu selepas gagal membuat pengeluaran keuntungan daripada aplikasi berkenaan,” ujarnya.

Mohd Alwi berkata, mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!