Kebakaran hutan di Felda Sungai Buaya dipadam sepenuhnya

RAWANG – Kebakaran hutan melibatkan kawasan seluas kira-kira 24 hektar di Felda Sungai Buaya berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.36 petang, Sabtu.
Menurut beliau, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa serta BBP Rawang telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Jentera pertama tiba pada jam 6.47 petang dan mendapati kebakaran melibatkan kawasan hutan yang luas sebelum kerja-kerja pemadaman segera dimulakan.

“Komander operasi memaklumkan ketika itu kebakaran melibatkan keluasan kira-kira 24 hektar,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, operasi pemadaman diteruskan dengan kekuatan tujuh anggota serta menggunakan dua jentera, iaitu Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Sekitar jam 7 pagi Ahad, sebahagian besar kebakaran iaitu seluas 23.5 hektar berjaya dipadamkan.
“Kerja-kerja pemadaman diteruskan dan laporan akhir yang diterima pada jam 4.20 petang mengesahkan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya,” ujarnya.
Beliau berkata, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.26 petang.
“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan dilaporkan sepanjang operasi dijalankan.
“Siasatan berhubung punca kebakaran masih dijalankan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

