Cubaan sembunyi di tingkat atas pusat hiburan gagal

PETALING JAYA – Cubaan beberapa individu warga asing bersembunyi di tingkat atas sebuah pusat hiburan di sini bagi mengelak dicekup pihak berkuasa terbongkar dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Jumaat.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu digerakkan susulan aduan awam terhadap kegiatan premis terbabit yang menggaji wanita warga asing sebagai pelayan bagi menghiburkan pelanggan.
"Serbuan dijalankan susulan risikan selama seminggu oleh Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan AMLA, bersama Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) JIM Putrajaya melibatkan 40 pegawai pelbagai pangkat.
"Semasa serbuan, semua warga asing di premis terbabit cuba melarikan diri dan bersembunyi di tingkat atas namun berjaya dikesan dan ditahan oleh pasukan operasi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, seramai 20 individu diperiksa membabitkan lapan warganegara tempatan dan 12 warga Sri Lanka.
"Daripada jumlah itu, 11 individu ditahan iaitu sembilan wanita Sri Lanka yang bekerja sebagai pelayan dan dua lelaki senegara mereka yang turut bekerja di premis terbabit.
"Kesemua individu ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selain
borang 29 turut dikeluarkan kepada semua pelanggan dan pekerja bagi membantu siasatan lanjut," katanya.
Menurutnya, siasatan awal berpandukan panduan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 mendapati tiada elemen eksploitasi atau pemerdagangan orang dalam kes tersebut.
"Siasatan mendapati wanita yang dipercayai berkhidmat sebagai pelayan berusia antara 20 hingga 33 tahun dan telah bekerja di premis itu hampir setahun dengan gaji sekitar RM2,000 sebulan.

"Semakan dilakukan mendapati mereka mengaku pasport masing-masing dipegang oleh majikan sebelum dibenarkan bekerja," katanya.
Beliau berkata, modus operandi premis berkenaan adalah menggaji wanita warga Sri Lanka sebagai pelayan hiburan kepada pelanggan.
"Premis terbabit juga pernah beberapa kali diserbu serta dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa sebelum ini.
"Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut," katanya.
Tegasnya, JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang di bawah Akta ATIPSOM 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

