Banjir kilat kejutkan warga Saleng, peniaga alami kerugian

Keadaan di sebuah stesen minyak yang dinaiki air susulan hujan lebat pada Jumaat
Keadaan di sebuah stesen minyak yang dinaiki air susulan hujan lebat pada Jumaat
A
A
A

JOHOR BAHRU – Orang ramai terutamanya mereka yang tinggal berhampiran kawasan Jalan Besae Saleng-Johor Bahru, Senai di sini mengakui terkejut dengan kejadian banjir kilat yang melanda sekitar kawasan berkenaan pada petang Jumaat.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan berkenaan pada Sabtu mendapati rata-rata penduduk di kawasan berkenaan mengakui ia merupakan kejadian banjir kilat yang julung-julung kali berlaku di kawasan berkenaan sehingga turut tular di aplikasi TikTok.

Seorang penjawat awam, Mohamad Nazri Tumiran, 45, mengakui kejadian seperti itu jarang berlaku di kawasan berkenaan.

Malah katanya, sebelum ini, biarpun kawasan berkenaan dilanda hujan, ia dilihat masih terkawal dan tidak menyebabkan berlakunya banjir kilat.

"Memang jaranglah berlaku keadaan macam ini, tapi semalam banjir kilat berlaku di sini dan memang ada air bertakung.

Air turut melimpah naik di sebuah pasaraya terkemuka di Senai.
Air turut melimpah naik di sebuah pasaraya terkemuka di Senai.

"Saya rasa, masalah banjir kilat ini mungkin berpunca akibat sistem perparitan di sini yang tidak berfungsi dengan baik atau mungkin tersumbat.

"Bagaimanapun, banjir kilat ini tidak berlaku kawasan rumah saya Taman Saleng Jaya," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Bagi peniaga, Sharifah Aini Syed Ali, 48, dia memang tidak menyangka hujan lebat itu akan mengakibatkan banjir kilat di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, dia lega kerana banjir kilat berkenaan tidak menjejaskan perniagaan yang diusahakannya di sebuah stesen minyak berhampiran.

"Banjir kilat berlaku lebih kurang pada jam 3 petang dan masa itu saya baru nak balik berniaga.

"Hujan pun memang sangat lebat, angin kencing dan air banjir sampai melimpah masuk ke kawasan stesen minyak ini memang jarang lah berlaku macam ni," katanya.

Dalam pada itu, seorang pekerja stesen minyak, Mohiddin Gazi, 25, berkata, hujan lebat tersebut dianggarkan berlaku selama sejam dan menyebabkan air melimpah masuk ke stesen minyak berkenaan.

Sisa lumpur selepas insiden banjir kilat tersebut.
Sisa lumpur selepas insiden banjir kilat tersebut.

Katanya, keadaan itu bagaimanapun tidak menyebabkan stesen minyak tersebut menghentikan operasi kerana limpahan air tidak menjejaskan pam minyak sedia ada.

"Ini merupakan kali pertama air masuk ke kawasan stesen minyak ini, tapi kami tetap teruskan operasi macam biasa.

"Semoga kejadian banjir kilat macam ini tak berlaku lagi, sebab kita tak tahu kalau air naik lebih tinggi dan rosakkan pam minyak pula," katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Senai, Wong Bor Yang ketika dihubungi berkata, punca banjir kali ini adalah sistem perparitan Jalan Persekutuan FT001 di kawasan Saleng yang tidak berfungsi dengan baik dan menyebabkan air dari taman-taman Saleng mengalir ke kawasan yang lebih rendah.

Justeru, pihaknya akan memohon tindakan segera daripada Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya (JKR), Kulai menaiktaraf sistem perparitan tersebut bagi menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak sekian lama.

"Semalam, saya juga telah melawat Tj Mart Saleng yang dilanda banjir kilat untuk melihat sendiri keadaan dan mendengar keluhan peniaga-peniaga di sana.

"Hujan memang lebat, setengah jam sahaja air sudah naik dan banjir kali ini lagi teruk berbanding dengan keadaan pada tahun 2022. Ramai peniaga mengalami kerugian.

"Oleh itu, saya juga akan bawa isu ini ke Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Kulai pada bulan ini dan Mesyuarat Taskforce Hotspot Banjir akan datang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!