RMK13 tanda keseriusan kerajaan hadapi cabaran

Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Manimaran
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Manimaran
A
A
A

KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan pada Khamis dilihat sebagai satu kesinambungan penting dalam usaha membangunkan negara dan meningkatkan kualiti hidup rakyat, namun keberkesanannya sangat bergantung kepada pelaksanaan yang tersusun, sumber yang mencukupi dan penerimaan semua pihak termasuk rakyat.

Koordinator Media Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA) Universiti Malaya (UM), Dr G Manimaran, berkata, RMK13 merupakan perancangan penting yang menandakan keseriusan kerajaan dalam menyediakan negara bagi menghadapi cabaran dekad akan datang.

Katanya, sasaran ekonomi dan sosial dalam RMK13 adalah realistik dengan andaian perdagangan negara akan bertambah baik dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Ini satu perancangan yang menunjukkan kesinambungan membangunkan negara dan meningkatkan kualiti rakyat.

“Sekiranya dana tidak mencukupi, kerajaan perlu berganding bahu dengan pihak berkepentingan termasuk perantara pelaburan. Skala perancangan boleh disemak semula, tetapi perancangan perlu dimulakan dari sekarang,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, kerajaan menyasarkan pelaburan keseluruhan berjumlah RM611 bilion bagi menjayakan RMK13 sepanjang tempoh 2026 hingga 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, peruntukan pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak RM430 bilion.

Menurutnya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan menyumbang sebanyak RM120 bilion, manakala sokongan pihak swasta melalui pelaksanaan projek secara perkongsian awam-swasta (PPP) pula diunjurkan berjumlah RM61 bilion.

Dalam pada itu, Manimaran berkata, dalam apa juga perancangan, risiko luar jangka seperti krisis global atau ketidaktentuan pasaran merupakan sesuatu yang tidak dapat dielak, namun ia bukan alasan untuk tidak membuat persiapan rapi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas komitmen kerajaan yang mengumpulkan semula projek bernilai RM430 bilion, beliau melihatnya sebagai petanda bahawa kerajaan bersedia melaksanakannya dengan keyakinan dapat menarik pelaburan swasta mencecah RM611 bilion.

“Kalau kita tak buat, tak laksanakan dalam masa satu dekad, kita akan jadi negara tua. Kita kena bersedia dari sekarang termasuk hospital, kebajikan sehinggalah kepada prasarana pendidikan,” ujarnya.

Beliau juga menyentuh keperluan untuk mempersiapkan negara dalam menghadapi realiti ekonomi digital yang semakin dominan.

“Kurikulum universiti perlu dikaji semula. Kalau kita tidak cukup tenaga kerja, kita kena cari. Kita perlu dana dan strategi. Kita tak ada pilihan kerana kita berada di persimpangan kritikal,” katanya.

Menurut Manimaran, kerajaan juga perlu menetapkan semula hala tuju pelbagai sektor supaya selaras dengan matlamat menjadi antara 30 negara terkaya di dunia menjelang 2030.

Beliau menganggarkan jika dilihat kepada pencapaian perancangan sebelum ini, kadar keberhasilan dasar adalah antara 80 hingga 85 peratus, namun menegaskan bahawa pencapaian itu tetap bergantung kepada kecekapan jentera pelaksana dan sokongan rakyat.

“Kita kena buat persiapan dalam semua sektor. Bukan sekadar dasar atas kertas, tapi juga dari segi pelaksanaan di lapangan.

“Pasukan pelaksana kena cekap, rakyat juga perlu ada pemikiran yang progresif. Tanpa komunikasi dan penyampaian dasar yang berkesan, kita akan gagal walaupun perancangannya cantik.

“Saya yakin kita boleh berjaya asalkan semua pihak berperanan. Kerajaan, swasta dan rakyat sendiri,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!