PGA serbu kilang proses tembaga, rampasan RM8.58 juta

IPOH – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya menumpaskan kegiatan pemprosesan sisa tembaga di sebuah kilang haram di Simpang Pulai, di sini menerusi serbuan dalam Operasi Hazard yang dijalankan pada Khamis.
Operasi selama 13 jam itu turut melibatkan kerjasama strategik bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Perak, Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, serbuan dilakukan hasil risikan selama sebulan yang mendapati kilang berkenaan telah beroperasi tanpa lesen dan kelulusan JAS sejak lebih setahun lalu.
"Susulan operasi ini, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an ditahan, manakala pelbagai jenis bahan tembaga, jentera dan mesin dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan RM8.58 juta.
“Siasatan awal mendapati bahan habuk dan bahan mentah tembaga diproses menjadi sekerap sebelum dipercayai dieksport ke luar negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Shahrum berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 34A dan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan aktiviti tanpa kelulusan JAS.
“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda antara RM100,000 hingga RM1 juta (bagi Seksyen 34A), serta denda antara RM100,000 hingga RM10 juta (bagi Seksyen 34B).
"JAS Perak turut mengambil tindakan lanjut dengan penahanan operasi kelengkapan mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta 127," katanya.
Menurutnya, selain itu, kilang terbabit juga disiasat di bawah Seksyen 113(2) Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana membuat pengisytiharan tidak betul berhubung pendapatan bagi tujuan percukaian.
Jelasnya, penalti sehingga 45 peratus daripada jumlah cukai yang ditipu boleh dikenakan jika didapati bersalah.
Shahrum menegaskan, PGA Briged Utara akan terus mempergiat rondaan dan pengawasan di Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan seumpama ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

