Bekas Presiden Korea Selatan berseluar dalam elak disiasat

SEOUL - Bekas Presiden Korea Selatan yang dipecat, Yoon Suk Yeol melakukan 'protes luar biasa' apabila beliau berbaring di lantai sel penjara hanya dengan memakai seluar dalam.
Pendakwa raya, Oh Jeong-hee pada Jumaat memaklumkan tindakan itu dibuat sebagai membantah proses siasatan terhadapnya.
Sehari sebelum itu, pendakwa raya memperoleh waran tangkap baharu bagi membawa Suk Yeol secara paksa untuk disoal siasat berhubung dakwaan mengganggu pilihan raya.
"Cubaan itu bagaimanapun gagal kerana bantahan dibuat bekas Presiden itu. Dia menolak untuk dibawa keluar dari penjara. Atas kebimbangan keselamatan, penahanan secara paksa dan pelaksanaan waran tangkap itu terpaksa digantung sementara," kata Jeong-hee sambil menambah mereka mungkin terpaksa menggunakan 'tindakan lebih tegas' pada percubaan seterusnya.
Pasukan undang-undang Suk Yeol bagaimanapun menyelar pendedahan tersebut yang disifatkan sebagai 'pengabaian yang membimbangkan terhadap maruah asas kemanusiaan'.
"Peguam khas itu telah menjadikan sidang akhbar kepada pentas untuk memalukan individu secara peribadi. Apakah jenis institusi undang-undang di negara bertamadun yang memberikan ulasan masa nyata kepada petugas media tentang pemakaian tahanan terutamanya dalam sel sempit dengan suhu mencecah hampir 40 darjah Celsius," tegas peguam Yoo Jeong-hwa.
Jeong-hwa memberi alasan bekas Presiden tersebut menghadapi beberapa kesukaran yang menimbulkan cabaran besar kepada beliau untuk mengekalkan kesihatannya dan memberi kerjasama penuh kepada siasatan.
Suk Yeol ditahan selepas beliau mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu dan berdepan pelbagai tuduhan termasuk melakukan pemberontakan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

