Bekas Presiden Korea Selatan bela diri di mahkamah
Yoon Suk Yeol menjadi ketua negara pertama dalam sejarah Korea Selatan yang ditahan semasa masih berkhidmat, pada Januari lalu, meskipun kemudian dibebaskan atas alasan teknikal.

SEOUL - Perbicaraan jenayah terhadap bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol bermula pada Isnin, dengan beliau hadir di mahkamah bagi membela diri terhadap tuduhan pemberontakan susulan pengisytiharan undang-undang tentera yang singkat tahun lalu.
Yoon secara rasmi digugurkan daripada jawatan awal bulan ini selepas Parlimen meluluskan pemecatan serta penggantungan beliau berhubung cubaan pada 3 Disember lalu untuk menafikan pemerintahan awam yang menyaksikan tentera bersenjata dihantar ke bangunan Parlimen.
Beliau menjadi ketua negara pertama dalam sejarah Korea Selatan yang ditahan semasa masih berkhidmat, pada Januari lalu, meskipun kemudian dibebaskan atas alasan teknikal.
Yoon hadir di Mahkamah Daerah Pusat Seoul pada pagi Isnin dan diminta oleh panel hakim untuk menyatakan nama, tarikh lahir serta maklumat peribadi lain, menurut laporan media.
Hakim utama merujuk Yoon sebagai 'bekas presiden' dan bertanya, “Defendan Yoon Suk Yeol, pekerjaan anda adalah bekas presiden dan apakah alamat semasa anda?”
Mahkamah dijadualkan mendengar keterangan daripada dua pegawai tentera yang dipanggil pihak pendakwaan, termasuk seorang pegawai yang mendakwa diarahkan oleh komander atasan untuk mengheret keluar ahli Parlimen yang berhimpun di Parlimen bagi membolehkan undang-undang tentera dikuatkuasakan.
Ahli Parlimen bagaimanapun bertindak nekad dengan memanjat pagar demi masuk ke bangunan dan mengadakan sidang tergempar untuk membatalkan pengisytiharan undang-undang tentera, memaksa Yoon menarik balik keputusan itu dalam tempoh beberapa jam.
Pakar undang-undang menjangka perbicaraan tersebut akan berlangsung dalam tempoh yang panjang.
“Keputusan pertama mungkin dikeluarkan sekitar Ogos, tetapi kes ini melibatkan sekitar 70,000 muka surat bukti dan ramai saksi. Jika perlu, perbicaraan boleh dilanjutkan,” kata peguam Min Kyoung-sic kepada AFP.
Sebagai perbandingan, bekas Presiden Park Geun-hye dipecat pada Disember 2016 namun hanya menerima keputusan akhir daripada Mahkamah Agung pada Januari 2021 atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.
Jika disabitkan bersalah, Yoon akan menjadi presiden ketiga Korea Selatan yang didapati bersalah atas tuduhan pemberontakan selepas dua bekas pemimpin tentera yang terlibat dalam rampasan kuasa 1979.
“Pakar undang-undang berkata rampasan kuasa dahulu boleh dijadikan rujukan dalam kes ini kerana turut melibatkan penggunaan tentera secara paksa,” kata Min.
Bagi tuduhan pemberontakan, Yoon berdepan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman maksimum iaitu hukuman mati.
Namun, pelaksanaan hukuman mati dilihat tidak mungkin memandangkan Korea Selatan tidak menjalankan sebarang hukuman mati sejak tahun 1997. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
