Drama bekas Presiden Yoon Suk Yeol belum tamat

SEOUL - Tindakan mengisytiharkan undang-undang tentera singkat pada Disember lalu akhirnya memakan diri bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol.
Beliau ternyata salah percaturan apabila Mahkamah Perlembagaan pada Jumaat mengekalkan keputusan pemecatan dibuat Perhimpunan Kebangsaan setelah digantung tugas selama kira-kira empat bulan.
Pemerhati percaya keputusan pengisytiharan undang-undang tentera itu jelas demi kepentingan diri sendiri.
Seperti babak dalam drama Korea, perjuangan undang-undang Suk Yeol, 64, belum lagi berakhir dan kini beralih pula ke Mahkamah Jenayah di mana beliau berdepan tuduhan melakukan pemberontakan yang mana prosiding itu dijadualkan bermula pada 14 April ini.
Pihak pendakwaan belum mengemukakan pertuduhan lain menerusi dakwaan rasmi pada 26 Januari lalu memandangkan beliau masih memegang imuniti selaku Presiden.
Perkara 84 Perlembagaan menetapkan Presiden yang masih memegang jawatan tidak boleh dikenakan tuduhan jenayah melainkan jika ia melibatkan kes pemberontakan atau pengkhianatan.
Pihak pendakwaan mungkin akan memfailkan dakwaan baharu berkaitan salah guna kuasa memandangkan beliau tidak lagi 'kebal'.

Ketika ini, Suk Yeol juga disiasat kerana menghalang tugas awam kerana mengarahkan Perkhidmatan Keselamatan Presiden (PSS) menegah polis daripada melaksanakan waran geledah atas alasan keselamatan negara.
Kes lain yang bakal dihadapi beliau adalah mengenai skandal penamaan calon menjelang Pilihan Raya Parlimen pada Mac 2022 yang turut dikaitkan dengan isterinya, Kim Keon Hee.
Sejak memegang jawatan kira-kira tiga tahun lalu, populariti beliau terus merudum kerana isu ekonomi dan siri skandal membabitkan bekas Wanita Pertama serta lantikan politik hingga mencetuskan desakan supaya beliau berundur.
Keon Hee tidak lekang dengan kontroversi termasuk skandal beg tangan mewah, Christian Dior, plagiarisme akademik dan manipulasi saham.
Parti pembangkang utama, Parti Demokratik mendakwa Suk Yeol cuba melindungi 'kesalahan' isterinya dan mengalihkan perhatian ramai terhadap konflik dalaman parti pemerintah.
“Beliau tidak bertindak secara rasional dan terlalu mengikut emosi kerana mahu dilabel sebagai 'hero demokrasi' padahal ia membabi buta,” ujar Profesor Ahn Byung-jin di Kyung Hee University.
Ketika mempertahankan keputusannya, Suk Yeol mendakwa pembangkang cuba 'menggulingkan demokrasi bebas', hakikatnya beliau cuba untuk menyembunyikan masalah politiknya sendiri.
Hilang keistimewaan
Yoon Suk Yeol dilahirkan pada 18 Disember 1960 di kawasan kejiranan Bomun-dong di daerah Seongbuk di Seoul.
Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda di Seoul National University pada 1983 dan Ijazah Sarjana dalam bidang undang-undang pada 1988.
Pada mulanya, Suk Yeol bercita-cita mahu mengikut jejak kedua-dua ibu bapanya menjadi profesor, namun minatnya beralih kepada perundangan.
Beliau merupakan pendatang baharu dalam dunia politik selepas Parti Kuasa Rakyat memenangi Pilihan Raya Presiden dengan margin kurang satu peratus.
Sebelum bergelar Presiden, Suk Yeol menjadi pendakwa raya selama hampir 30 tahun dan pernah mengetuai siasatan berprofil tinggi seperti skandal rasuah melibatkan bekas Presiden Park Geun-hye yang turut menyebabkan pemimpin wanita itu dipecat serta dihukum penjara.
Beliau juga mempunyai pendirian berbeza dengan pendahulunya, Moon Jae-in yang sedia berdialog dengan Korea Utara.
Suk Yeol menggunakan pendekatan lebih tegas malah memberi amaran akan melancarkan serangan awal jika Pyongyang melakukan sebarang bentuk provokasi.

Meskipun banyak sisi buruk yang didedahkan tentang beliau, pentadbiran Suk Yeol telah mencapai beberapa kejayaan di bawah dasar luar termasuk memulihkan hubungan bersama Jepun.
Beliau hanya sempat berkhidmat selama 1,060 hari atau bersamaan hampir tiga tahun daripada tempoh penggal selama lima tahun.
Suk Yeol yang menjadi Presiden kedua dipecat bakal kehilangan banyak keistimewaan akibat keputusan penyingkiran tersebut termasuk pencen berjumlah kira-kira 15 juta won (RM46,100) sebulan dan sokongan keselamatan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

