Tarif 19 peratus: Negara perlu terus perkasa pemodenan industri

SHAH ALAM – Negara perlu terus mengekalkan momentum dalam memperkasakan pemodenan industri, membuka pasaran baharu dan membina ekonomi yang kukuh berteraskan kredibiliti dasar serta kepentingan nasional.
Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) dalam satu kenyataan berkata, kejayaan usaha kerajaan yang mendorong kepada keputusan pengurangan tarif Amerika Syarikat (AS) kepada 19 peratus merupakan satu perkembangan positif dan perlu dilihat sebagai batu loncatan.
“Ketegasan kerajaan dalam mempertahankan dasar industri teras negara, termasuk sokongan terhadap perusahaan tempatan, industri strategik nasional dan pembangunan ekonomi yang inklusif, kekal menjadi asas utama sepanjang proses rundingan.
“Kita memuji keberanian Perdana Menteri yang terus mempertahankan ruang ini sambil mengekalkan kesediaan untuk menjalinkan hubungan perdagangan yang bermakna dengan salah satu rakan dagang terbesar kita,” katanya pada Jumaat.
Sebelum ini, Malaysia dikenakan tarif sebanyak 19 peratus berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Presiden AS ketika itu, Donald Trump.
Dokumen pelarasan lanjut kadar tarif timbal balas yang ditandatangani Trump bertarikh 31 Julai 2025 telah dimuat naik di laman sesawang Rumah Putih.
Menurut kenyataan BBC, keputusan AS itu mengiktiraf Malaysia sebagai rakan dagang berwibawa dan boleh dipercayai, dengan asas ekonomi yang kukuh serta mampan.
Ujarnya, ia juga mengesahkan hala tuju reformasi Malaysia menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Negara (NSS).
“Melangkah ke hadapan, BBC akan terus menyokong Perdana Menteri dan Kabinet beliau dalam melaksanakan reformasi ekonomi secara menyeluruh dan meneroka kepelbagaian pasaran.
“Usaha tersebut penting bukan sahaja untuk menyerap kesan turun naik perdagangan global, malah untuk memposisikan syarikat-syarikat Malaysia, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), agar lebih berdaya saing dalam sektor pertumbuhan tinggi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

