Pulau Pinang tangguh laksana tarif baharu air

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Pengguna air di Pulau Pinang boleh menarik nafas lega apabila pelaksanaan tarif baharu air yang sepatutnya bermula pada Jumaat ditangguhkan selama setahun sehingga 1 Julai 2026.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, penangguhan itu melibatkan pelarasan tarif di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi Tempoh Pelaksanaan Kedua (TP2) yang dijadualkan bermula pada 1 Ogos 2025.

“Penangguhan ini akan memberi manfaat kepada seramai 715,957 pengguna air di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, bagi tarif baharu kelak, purata kenaikan bil air untuk 79.88 peratus daripada 613,660 pengguna domestik (isi rumah) yang menggunakan sehingga 35 meter padu sebulan hanya antara 30 sen hingga RM2.55 sebulan.

“Bagi pengguna bukan domestik (perniagaan) pula, sebanyak 95.38 peratus daripada 98,155 akaun yang menggunakan sehingga 200 meter padu sebulan dijangka mengalami kenaikan purata antara RM3.60 hingga RM35.70 sebulan,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan tarif baharu itu dijangka meningkatkan hasil Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kira-kira RM20 juta untuk tempoh enam bulan pada tahun 2026.

“Dana ini akan digunakan untuk pelaksanaan projek-projek menaik taraf perkhidmatan bekalan air secara keseluruhan yang akan diumumkan kelak,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkam kadar tarif air bagi pengguna domestik di hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan akan dinaikkan bermula 1 Ogos ini, susulan pewartaan struktur baharu tarif air yang diumumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Kenaikan itu melibatkan peningkatan kadar purata sebanyak 20 sen bagi setiap meter padu, menjadikan kadar baharu RM2.75 berbanding RM2.55 sebelum ini, pelarasan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan Perak bagi kategori pengguna domestik.

Artikel Berkaitan:

SPAN sebelum ini memaklumkan bahawa pelaksanaan tarif baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha menyelaras struktur tarif air yang lebih mampan, selain membolehkan operator air negeri menampung kos operasi dan penyelenggaraan sistem bekalan air secara lebih berkesan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!