Kenaikan tarif air tidak bebankan pengguna - MB Negeri Sembilan

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memberi jaminan bahawa kenaikan tarif air yang dilaksanakan tidak akan memberi kesan besar kepada pengguna domestik kerana penggunaan air sehingga 40 meter padu masih disubsidi oleh kerajaan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagi pengguna domestik, kadar baharu masih mengekalkan subsidi untuk 40 meter padu pertama di mana 20 meter padu pertama diberi subsidi penuh manakala 20 meter padu seterusnya dikenakan kadar minimum.
“Kita hanya ambil keuntungan sekitar 10 sen daripada kos rawatan dan pengurusan air.
"Walaupun tarif dinaikkan, pengguna domestik masih menikmati kadar yang rendah.
“Kos sebenar rawatan air di negeri ini adalah antara RM1.10 hingga RM1.15 setiap meter padu, tetapi pengguna hanya dikenakan sekitar 70 sen, bermakna kerajaan masih menanggung subsidi lebih 40 sen,” katanya mengulas isu kenaikan tarif air.
Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Tahun 2025 Peringkat Negeri Sembilan di Dewan MBS pada Jumaat.
Katanya, keputusan kenaikan tarif ini dibuat secara bersama oleh semua negeri dan diselaraskan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
“Segala penyesuaian tarif telah dibincangkan dan dipersetujui bersama PETRA. Malah, kebanyakan negeri telah bersetuju, hanya satu atau dua negeri sahaja yang mohon penangguhan.
“Kita ikut keputusan ini kerana kenaikan tarif air tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya di peringkat negeri. Ia perlu diselaraskan secara bersama dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan untuk semua negeri.
“Saya percaya pendekatan ini adalah baik, memberi manfaat kepada semua pihak dan akhirnya untuk kebaikan bersama,” katanya
Beliau menyeru rakyat Negeri Sembilan untuk memahami rasional kenaikan ini dan menyokong usaha kerajaan dalam memastikan kelestarian bekalan air jangka panjang.
“Peningkatan penggunaan air akan memaksa kerajaan membina lebih banyak infrastruktur seperti loji rawatan, empangan dan sistem paip yang menelan kos bilion ringgit dan menambah beban hutang.
“Hutang semasa kerajaan negeri berkaitan air mencecah RM700 juta, dan sebahagiannya berpunca daripada pembinaan empangan baharu dan kemudahan rawatan seperti di Pusat Rawatan Air Ngoi Ngoi 2.
“Kos operasi turut meningkat dengan ketara akibat kenaikan tarif elektrik, yang menambah beban sebanyak RM700,000 sebulan, terutamanya bagi sektor komersial dan industri,” jelasnya.
Pada masa sama beliau turut menasihati rakyat supaya menggunakan air secara berhemah terutama ketika musim panas dan kemarau yang sedang melanda ketika ini.
“Kita minta rakyat elak guna air untuk tujuan tidak perlu seperti membasuh kereta atau menyiram pokok bunga secara berlebihan.
"Gunakan semula air lebihan seperti ketika membasuh makanan untuk siraman tanaman
“Kadar tarif air di Malaysia masih antara yang terendah di Asia. Kita harap rakyat faham bahawa kenaikan ini bukan untuk keuntungan, tetapi demi kebaikan bersama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


