NAFAS perkenal produk dan wajah baharu Baja Super Peladang

Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar (tiga dari kiri) melancarkan produk dan wajah baharu Baja Super Peladang yang berlangsung
di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada Sabtu.
Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar (tiga dari kiri) melancarkan produk dan wajah baharu Baja Super Peladang yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memperkenalkan produk dan wajah baharu bagi salah satu produk utamanya, Baja Super Peladang yang kini tampil dengan rekaan lebih segar, moden dan profesional.

Agensi itu dalam satu kenyataan berkata, majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar dalam satu acara yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Sabtu.

“Baja Super Peladang yang dihasilkan oleh syarikat subsidiari, NAFAS Bajakimia Sdn Bhd (NBKSB) tampil dengan rekaan grafik baharu lebih kemas dan mudah dikenali.

“Susun atur maklumat pada pembungkusan turut diperkemas bagi memudahkan pengguna memahami fungsi dan kandungan baja, selain pembungkusannya direka lebih tahan lasak bagi memenuhi keperluan pengendalian di ladang serta gudang,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini Baja Super Peladang hanya ditawarkan dalam bentuk baja sebatian, namun selari dengan peningkatan permintaan pasaran, NBKSB mengambil inisiatif memperkenalkan varian baharu dalam bentuk baja kompak menggunakan teknologi pembuatan lebih ringkas dan efisien.

“Biarpun begitu, produk baharu ini tetap mengekalkan kandungan nutrien dan tahap keberkesanan yang tinggi, sekali gus membolehkan ia ditawarkan pada harga lebih kompetitif di pasaran.

“Antara varian baharu yang diperkenalkan termasuklah Super Ultra K, iaitu baja kompak premium berasaskan mono ammonium phosphate (MAP) yang dirumus khas bagi meningkatkan kadar penyerapan nutrien oleh tanaman,” ujarnya.

Pada masa sama, turut dilancarkan dua lagi varian iaitu Super 45D dan Super 16 yang menggunakan asas sulphate of potash (SOP), sesuai untuk tanaman yang memerlukan kawalan terhadap kandungan klorin dalam pembajaan.

Langkah berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan NAFAS dalam memperkukuh jenama Baja Super Peladang sebagai produk tempatan berkualiti tinggi yang diyakini para petani di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Penampilan baharu tersebut turut mencerminkan komitmen NAFAS dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat dan profesionalisme produk selari dengan standard industri pertanian semasa.

Majlis pelancaran turut dihadiri Ketua Pentadbir NAFAS, Mohd Faizal Mohd Jakir; Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin dan Ketua Pegawai Eksekutif NBKSB, Zalifudin Md Arshad.

Majlis turut dihadiri Ketua Pentadbir NAFAS, Mohd Faizal Mohd Jakir (tiga dari kiri); Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar (tengah); Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif NAFAS Bajakimia Sdn Bhd, Zalifudin Md Arshad (dua dari kiri).
Majlis turut dihadiri Ketua Pentadbir NAFAS, Mohd Faizal Mohd Jakir (tiga dari kiri); Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar (tengah); Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif NAFAS Bajakimia Sdn Bhd, Zalifudin Md Arshad (dua dari kiri).

Hadir sama, wakil Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan pemain industri pertanian dari Sabah serta Semenanjung.

Sebagai antara penaja utama sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 edisi ke-50, NAFAS terus memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan sektor agromakanan negara, khususnya di Sabah.

Penglibatan kali ini menampilkan pendekatan menyeluruh merangkumi penglibatan generasi muda, pembangunan industri dan pengukuhan jaringan kerjasama strategik.

Untuk maklumat lanjut mengenai penglibatan NAFAS di HPPNK 2025, orang ramai boleh mengikuti platform media sosial rasmi NAFAS di Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok menerusi akaun @nafashq.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!