Pulau Pinang gesa rundingan konsesi tarif diteruskan, fokus sektor strategik

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan digesa agar meneruskan rundingan bagi mendapatkan lebih banyak konsesi tarif, khususnya dalam sektor yang menjadi kekuatan strategik ekonomi Pulau Pinang seperti elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan serta peranti perubatan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu penting untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam rantaian bekalan global selain mampu menarik pelaburan bernilai tinggi ke negeri ini dan negara secara keseluruhan.

“Kerajaan Pulau Pinang menggesa kerajaan Persekutuan untuk tidak berhenti setakat pengurangan tarif eksport daripada 25 peratus kepada 19 peratus sahaja.

“Kita perlu teruskan rundingan bagi mendapatkan konsesi yang lebih baik agar eksport Malaysia, khususnya dari Pulau Pinang, tidak ketinggalan berbanding negara pesaing di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, walaupun pengurangan tarif itu disambut baik sebagai langkah awal yang positif, ia hanya memberikan sedikit kelegaan kepada pengeksport tempatan.

“Ia tidak cukup untuk menyaingi negara lain yang menikmati kadar tarif lebih rendah atau sifar di bawah perjanjian perdagangan sedia ada.

“Ini penting terutamanya untuk sektor-sektor strategik Pulau Pinang yang menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negeri dan negara.

“Kita masih menunggu penjelasan rasmi daripada Kerajaan Persekutuan berhubung implikasi pengurangan ini serta hala tuju yang akan diambil selepas ini,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri kekal komited untuk menyokong industri serta pengeksport tempatan dalam menghadapi cabaran dan perubahan dalam landskap perdagangan global.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Malaysia dikenakan tarif 19 peratus berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis.

Dokumen pelarasan lanjut kadar tarif timbal balas yang ditandatangani Trump bertarikh 31 Julai 2025 itu telah dimuat naik di laman sesawang Rumah Putih.

Sebelum ini, Trump menetapkan kadar tarif 25 peratus untuk Malaysia, tetapi difahamkan perbualan telefon antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis mungkin menjadi antara faktor yang mendorong pengurangan tarif tersebut.

Negara-negara yang masih belum memeterai perjanjian perdagangan atau menerima notis tarif daripada pentadbiran Trump akan menerima makluman rasmi daripada AS selewat-lewatnya tengah malam Khamis, menurut kenyataan Rumah Putih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!