'Saya terapung di tengah laut lebih 40 jam sebelum diselamatkan'

Ates Demiroren kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.
Ates Demiroren kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pelancong warga Turkiye, Ates Demiroren, 41, yang terselamat dalam tragedi kapal layar karam dipukul ribut di perairan Pulau Yu di sini pada Selasa lalu terapung lebih 40 jam di tengah laut sebelum diselamatkan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, kapal layar Daisy yang dinaikinya bersama nakhoda, Ahmet Volkan Ata, 51, dan seorang lagi penumpang, Eser Demirkol, 51, dipukul ribut kuat menyebabkan mereka terpaksa terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.

Kapal layar Daisy yang dinaiki mangsa sebelum karam dipukul ribut dalam kejadian di perairan Pulau Yu. Kuala Terengganu pada Selasa lalu.
Kapal layar Daisy yang dinaiki mangsa sebelum karam dipukul ribut dalam kejadian di perairan Pulau Yu. Kuala Terengganu pada Selasa lalu.

"Waktu kapal hampir karam, saya berusaha lepaskan diri dan keluar dari dalam kapal. Ketika itu, kapten dan Eser berada di atas dek.

"Mereka melompat dan sempat memberi amaran bahawa kapal sedang tenggelam. Saya dengar dengan jelas dan nampak air mula masuk dari segenap arah.

"Walaupun air masuk dengan deras, saya berjaya bertahan di tangga serta keluar ke permukaan air sebelum kapal tenggelam dan mereka hilang," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Sementara itu, Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, Ates kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan berada dalam keadaan stabil walaupun mengalami luka di bahagian lutut serta masih keletihan dan trauma.

Menurutnya, mangsa berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Khamis iaitu selepas lebih 40 jam hanyut di laut.

Artikel Berkaitan:

Nakhoda kapal, Ahmet Volkan yang masih hilang.
Nakhoda kapal, Ahmet Volkan yang masih hilang.

"Kedudukan terakhir mangsa dikesan kira-kira 10 kilometer dari Pulau Bidong, dengan kedalaman laut antara 40 hingga 50 meter dan arah haluan 300 hingga 320 darjah," katanya.

Beliau berkata, dua lagi warga Turkiye termasuk nakhoda kapal, Ahmet Volkan Ata dan Eser Demirkol masih belum ditemui.

"Selepas diselamatkan, Ates dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut. Kejadian ini juga telah dimaklumkan kepada Kedutaan Turkiye di Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) telah diaktifkan seawal jam 3 petang Selasa melibatkan Bot Peronda Maritim Malaysia, Perkasa 48, ke lokasi kejadian.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau penemuan berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-7464357 (24 jam) bagi membantu usaha pencarian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!