JAS pantau tumpahan minyak susulan kapal tenggelam di Port Dickson

Pegawai JAS Negeri Sembilan telah melakukan pemantauan di pantai berhampiran Hotel Lexis Hibiscus dan sampel air telah diambil untuk siasatan lanjut, namun tiada kesan berminyak ditemui - Foto: JAS
Pegawai JAS Negeri Sembilan telah melakukan pemantauan di pantai berhampiran Hotel Lexis Hibiscus dan sampel air telah diambil untuk siasatan lanjut, namun tiada kesan berminyak ditemui - Foto: JAS
A
A
A

PORT DICKSON – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan kini giat memantau perkembangan kejadian tumpahan minyak di perairan Port Dickson susulan insiden sebuah kapal pengorek pasir yang tenggelam pada 26 Julai lalu.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, pihak JAS menerima aduan mengenai tumpahan minyak yang berlaku di Pantai Cermin daripada Pejabat Perikanan Negeri Sembilan.

Menurutnya, satu pasukan khas telah digerakkan untuk menilai kesan tumpahan serta memastikan lokasi terlibat dikenal pasti.

“Maklumat awal menyatakan kesan berminyak ditemui oleh pekerja syarikat pembersihan SWM yang pada awalnya menyangka ia sisa kotoran laut. Namun, apabila dihidu, ia berbau seperti minyak dan laporan telah dibuat kepada Jabatan Perikanan.

“Maklumat juga menyebut terdapat sebuah kapal yang melakukan kerja-kerja tambakan telah tenggelam di perairan Kuala Linggi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Veerapan, walaupun maklumat awal menyatakan tiada tumpahan minyak berlaku, namun pasukan OSR TAG Marine/Pandan telah memasang 'oil boom' sebagai langkah pencegahan awal pencemaran.

Bagaimanapun, pada 26 Julai lalu, kesan minyak beserta bau telah dikesan di permukaan air belakang Hotel Lexis Hibiscus, Port Dickson.

“Pemeriksaan di Pantai Cermin bagaimanapun mendapati tiada kesan minyak ditemui di sepanjang pantai, termasuk pada kayu atau sampah.

“Siasatan lanjut dijalankan keesokan harinya dengan meninjau sepanjang Pantai Cermin hingga Port Dickson dan pemantauan mendapati tiada kesan minyak kelihatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, dua sampel air dan satu sampel habuk kayu berwarna hitam telah diambil untuk siasatan lanjut, namun tiada kesan berminyak ditemui pada sampel berkenaan.

Jelas Veerapan, pemantauan menyeluruh telah dilakukan bagi memastikan kawasan sensitif ekologi tidak terjejas akibat insiden tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!