Persidangan DUN singkat bukan tanda takut - Mohd Amar

Mohd Amar (tengah) semasa merasmikan Karnival Kelantanku Cakna di Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu pada Khamis.
Mohd Amar (tengah) semasa merasmikan Karnival Kelantanku Cakna di Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU – Tempoh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang singkat minggu lalu bukan kerana kerajaan negeri takut untuk berdepan dengan sebarang isu yang dibangkitkan pembangkang.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa kerajaan negeri tetap memberikan jawapan kepada soalan yang dibangkitkan, cuma disampaikan secara bertulis.

"Kalau penakut, kita tak beri jawapan langsung. Tapi kita beri jawapan secara bertulis, maknanya kita berani berdepan. Jawapan itu boleh digunakan untuk dikomen dan dijawab semula oleh pihak berkenaan.

"Perlu difahami, persidangan DUN atau Parlimen adalah urusan kerajaan. Kalau kerajaan tiada urusan, maka persidangan pun tamat. Kita tiada rang undang-undang atau pindaan untuk dibentangkan," katanya ketika diminta mengulas dakwaan pembangkang kononnya kerajaan negeri sengaja menamatkan sidang DUN lebih awal kerana takut untuk berdepan soalan daripada wakil rakyat pembangkang.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kelantanku Cakna di Masjid Jamek Muhammadi di sini pada Khamis.

Mohd Amar berkata, isu berkaitan sesi soal jawab juga tidak wajar dijadikan polemik kerana tempohnya telah mencukupi, malah lebih panjang berbanding di Parlimen.

"Takkan sesi soal jawab nak sampai ke petang. Di Parlimen, sejam sahaja. Pernah juga berlaku ketika BN (Barisan Nasional) memerintah, hanya 45 minit.

"Tetapi di Kelantan, kita beri sehingga dua jam, malah kita tidak sekat pun soalan tambahan. Kalau mereka kata tiada peluang, banyak juga soalan penyokong kerajaan sendiri yang tidak sempat dibangkitkan," ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan tiga wakil rakyat pembangkang di Kelantan meluahkan rasa kesal dan menyifatkan persidangan DUN yang berlangsung tiga hari hingga kelmarin sebagai tempoh paling singkat.

Artikel Berkaitan:

Mereka mendakwa, soalan yang dikemukakan bukan sahaja tidak dijawab, malah tempoh persidangan DUN hanya berlangsung separuh hari setiap hari.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, persidangan DUN yang berlangsung seolah-olah hanya untuk melengkapkan syarat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!