Pasangan doktor dicekup khalwat berdepan tindakan buang kerja

Hee Sem (tengah) ditemui ketika Operasi Penguatkuasaan Akta 446 di Tambak Paya pada Khamis.
Hee Sem (tengah) ditemui ketika Operasi Penguatkuasaan Akta 446 di Tambak Paya pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Sepasang kekasih yang juga doktor perubatan berdepan tindakan tatatertib termasuk kemungkinan dibuang kerja selepas ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah rumah di Taman Semabok Perdana di sini pada Selasa lalu.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, tindakan lanjut hanya akan diambil selepas hasil siasatan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) diperoleh.

Menurutnya, sekiranya siasatan mendapati pasangan terbabit melakukan kesalahan, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) akan mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya termasuk kemungkinan penamatan perkhidmatan.

“Namun setakat ini, kedua-dua mereka masih bertugas seperti biasa.

“Kita sedang menunggu laporan siasatan lengkap daripada JAIM,” katanya kepada media selepas mengetuai Operasi Penguatkuasaan Akta 446 di Tambak Paya di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang doktor lelaki ditahan JAIM selepas disyaki berkhalwat bersama pasangannya yang juga seorang doktor wanita.

Menurut sumber, semasa serbuan kira-kira jam 3.25 petang, pasangan tersebut didapati cuba bersembunyi di dalam rumah sebelum akhirnya membuka pintu selepas lebih 20 minit pihak berkuasa menunggu.

Difahamkan, serbuan itu turut disertai oleh imam masjid, anggota polis dan penduduk taman berdekatan.

“Doktor lelaki yang membuka pintu rumah itu turut mempersoalkan tindakan penguat kuasa untuk memeriksa kediaman yang disewa bersama dua lagi rakan lelaki yang tiada di rumah semasa kejadian,” kata sumber berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pasangan berkenaan ditahan pada jam 3.43 petang dan kes disiasat di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!