RMK13: Skim pembiayaan, dana untuk TVET diperkenal

Kerajaan perkenal Skim Pembiayaan Perkasa TVET Madani dan Dana Latihan TVET di bawah RMK13 bagi galak penyertaan belia termasuk pelajar tahfiz ke arah huffaz teknokrat. Foto hiasan
Kerajaan perkenal Skim Pembiayaan Perkasa TVET Madani dan Dana Latihan TVET di bawah RMK13 bagi galak penyertaan belia termasuk pelajar tahfiz ke arah huffaz teknokrat. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan memperkenalkan Skim Pembiayaan Perkasa TVET Madani dan Dana Latihan TVET sebagai antara langkah utama untuk memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.

Langkah ini selari dengan keperluan industri semasa dan hala tuju negara ke arah ekonomi berasaskan penciptaan nilai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyertaan belia akan digalakkan secara aktif menerusi kemudahan pembiayaan dan latihan yang disusun semula dengan lebih strategik, memberi tumpuan kepada bidang berimpak tinggi serta teknologi termaju.

Katanya, penawaran program TVET turut diperluaskan kepada pelajar tahfiz sebagai usaha melahirkan huffaz teknokrat Madani yang memiliki gabungan kepakaran teknikal dan kekuatan nilai insaniah, seiring gagasan Malaysia sebagai negara bangsa yang bermaruah dan seimbang.

Menurut beliau, penekanan terhadap TVET mencerminkan iltizam kerajaan untuk menyediakan generasi masa depan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi turut memiliki kemahiran praktikal selari dengan kehendak pasaran.

“Penawaran program TVET juga akan distrategikan semula dengan penekanan kepada sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) serta berasaskan teknologi termaju, sejajar dengan keperluan pasaran buruh bagi menyokong pembangunan industri seperti di JS-SEZ, KIGIP dan KHTP,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerjasama erat antara institusi TVET dan pihak industri akan menjadi pemangkin kepada perkongsian pengetahuan teknologi serta peningkatan kemahiran, seperti yang telah dilaksanakan menerusi program-program di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Penyelarasan antara agensi berkaitan seperti KPT, Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan MARA juga akan terus dipergiat bagi memastikan ekosistem TVET yang lebih tersusun, responsif dan inklusif,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa langkah memperkukuh TVET penting bagi memenuhi sasaran pewujudan 700,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan dan 500,000 lagi dalam bidang ekonomi digital sepanjang tempoh RMK13.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pembangunan bakat dalam bidang ini turut menyumbang kepada usaha negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi yang dipacu oleh inovasi dan teknologi.

“Dengan pendekatan menyeluruh ini, Malaysia menyasarkan untuk berada dalam kelompok 20 terbaik dunia dalam Global Innovation Index, sebagai satu penanda aras penting dalam menentukan daya saing negara di pentas global,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Tambun itu turut menegaskan bahawa pembangunan tenaga kerja mahir melalui TVET merupakan antara keutamaan negara dalam era transformasi ekonomi, memandangkan keperluan tenaga kerja kini tidak lagi bersifat tradisional, sebaliknya bergantung kepada adaptasi teknologi.

TVET juga dilihat sebagai ruang inklusif kepada pelbagai segmen masyarakat, termasuk pelajar tahfiz, untuk membina kemahiran yang relevan dengan perkembangan semasa tanpa mengabaikan nilai dan identiti keagamaan.

Jelas Anwar, penyertaan kumpulan tahfiz dalam sistem TVET akan memberikan mereka peluang ekonomi yang lebih luas, sekali gus memperkukuh kedudukan mereka sebagai aset negara yang mampu menyumbang kepada pelbagai sektor kritikal.

“Ini adalah selaras dengan semangat Madani yang berteraskan pembinaan masyarakat seimbang, adil dan bermaruah melalui pendekatan yang terangkum,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!