Langgar perintah kuarantin boleh dipenjara

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Syazlin Mansor)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Syazlin Mansor)
A
A
A

SHAH ALAM - Individu yang melanggar perintah kuarantin di rumah berkaitan dengan wabak koronavirus (Covid-19) boleh dipenjarakan sehingga dua tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Peguam, Syazlin Mansor berkata, hukuman itu adalah untuk kesalahan kali pertama dan bagi kesalahan kedua, hukuman lebih berat dikenakan kerana boleh berdepan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, bagi kesalahan yang dilakukan berterusan, individu yang disabitkan bersalah boleh didenda selanjutnya tidak lebih RM200 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan.

“Mengikut undang-undang, perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah kediaman bagi kontak jangkitan Covid-19 boleh diambil di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit memperuntukkan kuasa kepada mana-mana pegawai diberi kuasa untuk memerintahkan individu diasingkan di rumah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Orang ramai dinasihatkan tidak mengunjungi mana-mana tempat awam dan tempat terbuka atau menangguhkan sebarang aktiviti fizikal di luar untuk sementara waktu susulan Covid-19.
Orang ramai dinasihatkan tidak mengunjungi mana-mana tempat awam dan tempat terbuka atau menangguhkan sebarang aktiviti fizikal di luar untuk sementara waktu susulan Covid-19.

Beliau berkata, sepanjang tempoh diletakkan di bawah pengawasan dan pemerhatian, seseorang individu dikehendaki mematuhi segala perintah yang ditetapkan dan kegagalan mematuhi perintah itu boleh menyebabkan seseorang itu berdepan hukuman.

Sejak penularan Covid-19, arahan kuarantin sama ada di hospital atau di rumah dikeluarkan bagi mengekang penularan penyakit berjangkit itu yang diisytiharkan sebagai pandemik.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Kesihatan mengesahkan sebanyak 125 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 553 kes.