Mendidik anak-anak zaman sekarang lebih mencabar

Tangkap layar video tular seorang pelajar menumbuk gurunya kerana ditegur ponteng kelas.
Tangkap layar video tular seorang pelajar menumbuk gurunya kerana ditegur ponteng kelas.
A
A
A

TERKEJUT Merak Jalanan melihat satu rakaman video tular seorang pelajar menumbuk gurunya kerana ditegur ponteng kelas Pendidikan Jasmani.

Dalam rakaman berdurasi 38 saat itu, jelas kedengaran suara guru meminta bantuan guru lain untuk meleraikan insiden yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Kajang. Situasi tegang, pelajar naik tangan, guru pula cuba bertahan.

Pelajar berusia 14 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang pada Selasa. Dia mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan cikgu berusia 29 tahun itu dan dibebaskan dengan jaminan RM1,000.

Mahkamah menetapkan 11 September depan sebagai tarikh jatuh hukum, sementara tunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Melihat kejadian ini, Merak Jalanan terfikir, di mana silapnya dalam ekosistem kehidupan kita kini? Mengapa semakin ramai anak muda semakin hilang kawalan apabila berdepan tekanan?

Cabaran mendidik anak zaman sekarang bukan lagi macam dulu. Guru bukan sekadar mengajar, tapi juga dipaksa berperanan sebagai kaunselor, pendamai, pengurus emosi, kadang-kadang jadi mangsa pula.

Merak Jalanan pernah berbual dengan beberapa guru. Luahan mereka mungkin tidak mewakili semua, tapi cukup untuk kita renung. Kata mereka, sekarang semuanya sensitif.

“Cubit tak boleh, jentik pun tak boleh, apatah lagi rotan. Tapi dulu semua itu mendidik. Sekarang kalau semua tak boleh, kita ajar saja ikut silibus. Kalau tak jadi manusia, bukan masalah kami dah...” katanya.

Jadi, janganlah kita cepat salahkan guru semata-mata. Tugas mendidik bukan hanya tanggungjawab sekolah, tapi juga ibu bapa dan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Kalau kita sama-sama tidak main peranan, jangan terkejut kalau lebih banyak rakaman video tular lagi di masa akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!