Terap perubahan: Petronas orak langkah berani ke hadapan

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Pada 5 Jun 2025, syarikat minyak negara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan bahawa syarikat akan menumpukan usaha kepada transformasi menyeluruh bertujuan untuk menyesuaikan diri dengan situasi pasaran yang mencabar.

Langkah ini sebahagian daripada anjakan strategik syarikat ke arah 'Petronas 2.0', yang akan melibatkan perubahan struktur, organisasi dan proses kerja untuk mencapai ketangkasan dan kejayaan lebih besar, serta memperkasa syarikat untuk berkembang maju dalam landskap yang sentiasa berubah.

Pada hari yang sama, dagangan minyak mentah Brent dibuka pada USD64.91 setong, sebelum mencecah paras tertinggi harian pada USD65.86. Kurang dua tahun sebelum itu, pada September 2023, komoditi tersebut berada pada purata USD93.72 setong.

Bagaimanapun, faktor tersebut bukanlah pendorong tunggal di sebalik keputusan Petronas melaksanakan  pensaizan wajar (rightsizing) melibatkan tenaga kerjanya.

Untuk mendalami sebab Petronas dan entiti-entiti minyak dan gas (O&G) global lain menyemak atau menstruktur semula operasi mereka, FMT mengupas pelbagai cabaran baharu yang kini melanda industri ini.

Berdepan cabaran global

No Image Caption

Selain PETRONASetronas, syarikat-syarikat minyak lain seperti Chevron dan Shell turut mengurangkan kakitangan sebagai sebahagian inisiatif penstrukturan semula.

Artikel Berkaitan:

Awal tahun ini, Chevron mengumumkan pengurangan tenaga kerjanya sebanyak 20%, suatu langkah yang akan menyebabkan 9,000 kakitangan diberhentikan menjelang akhir 2026.

Menurut laporan Bloomberg, pemberhentian tersebut bermatlamat 'menyelaraskan operasi, mengurangkan kos USD2 bilion hingga USD3 bilion menjelang 2026, serta meningkatkan kecekapan'.

Beberapa bulan sebelumnya, Shell mengumumkan akan mengambil langkah serupa, dengan tenaga kerjanya disusutkan sebanyak 20% dan kos dikurangkan antara USD2 bilion hingga USD3 bilion pada akhir tahun ini.

Menangani isu kritikal

Langkah penstrukturan semula ini, yang termasuk pemberhentian kakitangan, tidak dapat dielakkan berikutan ketidaktentuan pasaran, di samping kebimbangan persekitaran, kekangan kawal selia dan kemajuan teknologi.

Peristiwa geopolitik, termasuk konflik ketenteraan di Timur Tengah dan Ukraine, menjejaskan keseimbangan permintaan dan penawaran secara signifikan, seterusnya mewujudkan ketidakpastian dan mengakibatkan penurunan harga.

No Image Caption

Misalnya, konflik Iran-Israel menyebabkan turun naik ketara pada harga minyak, dengan minyak mentah Brent mencapai paras tertinggi lima bulan pada USD81.40 setong susulan serangan Amerika Syarikat ke atas fasiliti nuklear Iran, sebelum menyusut kembali kepada USD69 berikutan pengumuman gencatan senjata.

Margin keuntungan turut mulai menyusut, bukan semata-mata disebabkan oleh penurunan harga tetapi juga oleh faktor-faktor lain. Dalam medan matang, produk yang dicari sering terperangkap dalam formasi geologi yang lebih kompleks, menjadikan proses pengekstrakan lebih rumit, justeru memakan kos yang tinggi.

Kos pengekstrakan bagi setiap tong minyak dari medan-medan lama boleh mencecah USD50, menyebabkan operasi di medan tersebut tidak dapat diteruskan secara mampan apabila harga pasaran merosot.

Peningkatan kos operasi di medan matang bukanlah faktor tunggal kepada penyusutan margin.

Petronas turut terlibat dengan ketara dalam projek-projek perairan dalam. Syarikat itu sudah memiliki aset medan di Gumusut-Kakap, Malikai dan Kikeh di luar pesisir Sabah, dan sedang dalam proses membangunkan lapangan baharu di Limbayong dan Kluster Kelidang, juga di luar pesisir Sabah.

Selain itu, syarikat minyak negara itu memperluas portfolionya dalam projek-projek perairan dalam di Suriname.

Projek-projek perairan dalam lazimnya melibatkan kegiatan pengekstrakan pada kedalaman 4,000 kaki (1,219m) hingga 7,000 kaki (2,134m) di bawah paras laut.

Keadaan yang serba mencabar di perairan dalam dan ultra-dalam menuntut penggunaan teknologi serta prasarana terkhusus, yang menyumbang pada peningkatan kos pengeluaran.

Penglibatan aktif Petronas dalam projek-projek gas masam, khususnya di perairan Sarawak, merupakan satu lagi cabaran utama. Kepekatan bahan bendasing yang tinggi seperti hidrogen sulfida dan karbon dioksida melonjakkan kos pemprosesan gas.

Gabungan faktor-faktor ini mengakibatkan kos operasi yang lebih tinggi, justeru mewajibkan syarikat minyak itu melaksanakan penjimatan di sektor lain bagi menjamin kelestarian perniagaannya.

Faktor alam sekitar

Peningkatan keprihatinan terhadap kelestarian alam sekitar mungkin merupakan cabaran utama bagi syarikat-syarikat O&G.

Minyak, yang pernah menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, kini dipandang sebagai penyumbang utama kepada pelbagai isu persekitaran. Isu-isu seperti pencemaran udara dan air, serta penyahhutanan yang mengakibatkan pemanasan global, dikaitkan dengan penggunaan bahan api fosil secara meluas.

Para pengeluar minyak global kini didesak untuk beralih kepada tenaga bersih bagi mematuhi peraturan alam sekitar yang semakin ketat.

No Image Caption

Di Malaysia, Petronas komited untuk membantu negara beralih kepada tenaga bersih di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Pelan itu merangkumi usaha mengurangkan jejak karbon negara untuk memacu ekonomi ke landasan yang lebih mampan.

Ini melibatkan pelaburan berbilion-bilion ringgit dalam tenaga boleh baharu untuk menjamin keperluan tenaga negara pada masa akan datang.

Keperluan transformasi

Sudah tiba masanya untuk kita tidak lagi melihat sektor O&G secara keseluruhan, dan Petronas secara khususnya, dengan pandangan yang terlalu optimistik.

Banyak syarikat minyak utama, termasuk ExxonMobil, Shell, Chevron dan TotalEnergies, melaporkan penyusutan keuntungan sejak 2022.

Petronas juga tidak terkecuali. Keuntungannya menurun secara konsisten, daripada RM101.6 bilion pada 2022 kepada RM80.7 bilion pada 2023, dan seterusnya kepada RM55.1 bilion pada 2024.

Presiden dan CEO Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz membayangkan hala tuju baharu syarikat dan antara lainnya, proses kerja akan berubah.

No Image Caption

“Kita akan lebih diterajui teknologi, dengan memanfaatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan ekosistem digital bagi menyerlahkan nilai serta melonjakkan daya pengeluaran,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa transformasi digital boleh membantu perniagaan meneroka peluang baharu untuk penjanaan nilai dan peningkatan daya pengeluaran, sambil melicinkan operasi dan mengurangkan ketidakcekapan.

“Analitik dipacu AI membolehkan pembuatan keputusan berasaskan data, pengurusan risiko yang lebih baik dan meningkatkan keupayaan untuk meramal serta bertindak balas terhadap perubahan pasaran.

“Ini membolehkan organisasi kekal tangkas, berdaya saing dan berada pada kedudukan yang baik bagi menghadapi cabaran landskap tenaga yang sentiasa berubah,” katanya.

Langkah pensaizan wajar ini akan meningkatkan daya tahan dan ketangkasan operasi, apabila tenaga kerja sepadan dengan keperluan strategik syarikat.

Hala tuju

Kesimpulannya, langkah pensaizan wajar ini tidak dapat dielakkan.

Dalam persekitaran margin keuntungan yang semakin menipis dan pasaran tenaga global yang pantas berubah, usaha memperkukuh syarikat minyak negara akan membawa faedah jangka panjang bagi rakyat Malaysia.

No Image Caption

Perlu ditegaskan bahawa kedudukan kewangan Petronas kekal kukuh. Meskipun begitu, tindakan yang rasional adalah untuk bertindak sekarang, semasa syarikat masih menguntungkan, berbanding menunggu sehingga langkah-langkah yang menyakitkan seperti pemotongan gaji dan pengurangan tenaga kerja terpaksa diambil.

Selain itu, syarikat perlu menyelaraskan proses dan mengurangkan lapisan operasi untuk menjadikannya lebih tangkas.

Pensaizan wajar ialah tindakan yang tepat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!