Pahang tunggu laporan penuh kes buli

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN – Kerajaan Pahang sedang menunggu laporan penuh daripada jabatan berkaitan susulan negeri ini mencatatkan kes buli tertinggi di Malaysia seperti dilaporkan Public Health Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan susulan hanya akan diambil selepas laporan berkenaan diterima dan diteliti.

“Saya sedang menunggu laporan daripada pihak jabatan untuk melihat sejauh mana laporan tersebut benar atau tidak.

“Insya-ALLAH, kalau benar kita akan bincang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita merasmikan program Moh Kendurian di Ladang Kampung Mahkota Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA), di sini pada Rabu.

Wan Rosdy juga menyeru semua pihak agar bersama menghentikan budaya buli kerana ia satu budaya yang sangat tidak digalakkan.

Ditanya sama ada keluasan negeri dan jumlah pelajar yang ramai mungkin menjadi faktor Pahang mencatat kes tertinggi, Wan Rosdy tidak menolak dakwaan tersebut.

“Kemungkinan itu antara satu sebab,” katanya.

Mengulas mengenai status pembinaan hospital Maran, Wan Rosdy berkata, perkara terbabit masih belum dimulakan.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini kerajaan negeri sedang berusaha kuat, kita sudah minta, sampai tahap tanah pun kita dah telah sediakan tetapi daripada segi peruntukannya belum belum sampai lagi.

"Kita tunggulah dan kita masih merayu daripada Kerajaan Persekutuan dan ia dimasukkan dalam di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)," katanya.

Terdahulu, laman media sosial Facebook Public Health Malaysia mendedahkan statistik membimbangkan berkaitan buli dalam kalangan remaja.

Antara kumpulan paling ramai menjadi sasaran ialah pelajar Tingkatan 1 yang mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 23 peratus.

Dalam pecahan jantina, remaja lelaki dilaporkan lebih kerap dibuli berbanding perempuan, dengan kadar masing-masing 19 peratus berbanding 14 peratus.

Kajian itu turut mendapati pelajar daripada kaum India mencatat kadar buli tertinggi berbanding kaum lain di negara ini.

Daripada segi pecahan negeri, Pahang merekodkan kadar buli tertinggi di Malaysia iaitu 22 peratus, manakala Kelantan mencatatkan kadar paling rendah sebanyak 12.5 peratus.

Antara bentuk buli yang paling kerap berlaku pula ialah memperlekeh rupa paras dan bentuk badan, membabitkan 16 peratus daripada mangsa.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!